TEHRAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menzahirkan ucapan tahniah kepada Mojtaba Khamenei atas pelantikan beliau sebagai Pemimpin Tertinggi Iran baharu, menggantikan ayahnya yang terkorban dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan di platform X, Abbas Araghchi menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus setia di bawah kepemimpinan baharu itu dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara di tengah-tengah ketegangan yang masih memuncak di Asia Barat.
“Kami berikrar dalam mempertahankan hak bangsa Iran, memajukan kepentingan dan keselamatan nasional, serta merealisasikan matlamat Revolusi Islam, kami tidak akan goyah walaupun sesaat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Pelantikan Mojtaba dilihat sebagai langkah penting bagi mengekalkan kestabilan politik Tehran selepas serangan udara AS-Israel yang meragut nyawa sebahagian besar kepimpinan negara dan mencetuskan konflik lebih luas di rantau berkenaan.
Abbas Araghchi turut memberi jaminan jentera diplomatik Iran akan terus berfungsi sepenuhnya bagi memastikan objektif strategik negara dapat dicapai meskipun berdepan tekanan ketenteraan dan ekonomi daripada kuasa Barat.
