MADRID – Sepanyol mengulangi penolakannya terhadap penggunaan pangkalan tenteranya oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menyerang Iran, selepas ugutan tindakan perdagangan oleh Presiden Donald Trump memburukkan lagi keretakan antara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu.
Perdana Menteri, Pedro Sanchez, sekali lagi melaungkan pendirian “tidak kepada perang” susulan serangan hujung minggu AS–Israel ke atas Iran yang mencetuskan konflik serantau.
Beberapa jam kemudian, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata Madrid telah “bersetuju untuk bekerjasama dengan tentera AS”, tanpa memperincikan bentuk kerjasama tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, memberitahu radio Cadena SER bahawa “pendirian kami mengenai penggunaan pangkalan, mengenai perang di Asia Barat, mengenai pengeboman Iran, tidak berubah sama sekali.”
Semalam, Trump menyifatkan Sepanyol sebagai sekutu “teruk” dan mengugut untuk memutuskan semua perdagangan dengan negara itu.
Sanchez dalam ucapan yang disiarkan di televisyen mempertahankan pendiriannya dengan berkata:” Kami tidak akan bersubahat dalam sesuatu yang memudaratkan dunia dan bertentangan dengan nilai serta kepentingan kami, semata-mata kerana takutkan tindak balas balas,”
Sepanyol ialah anggota Kesatuan Eropah (EU) yang membenarkan pergerakan bebas barangan antara 27 negara anggotanya, sekali gus menyukarkan sebarang usaha mengenakan sekatan perdagangan terhadap satu negara anggota sahaja.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memuji Sepanyol di platform X atas “tindakan bertanggungjawab dalam menentang pelanggaran hak asasi manusia secara terang-terangan dan pencerobohan ketenteraan oleh gabungan Zionis-Amerika.”
Antara pemimpin Eropah yang menyatakan sokongan kepada Sanchez ialah Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa.
Sanchez sebelum ini juga menjadi sasaran kritikan Washington kerana enggan menyertai sekutu NATO dalam komitmen meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus KDNK seperti dituntut Trump.
Pasukan AS menggunakan Rota naval base dan Moron air base di selatan Sepanyol berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 1953 ketika pemerintahan diktator Francisco Franco.
Nnn
