Apabila al-Quran dipijak, diam bukanlah pilihan

MARAN 3 Mac – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kesal atas insiden penghinaan terhadap al-Quran yang disifatkan sebagai perbuatan biadab serta menggugat keharmonian negara dan negeri ini.

Baginda bertitah, insiden yang melibatkan seorang mahasiswa daripada sebuah universiti awam di negeri ini yang didakwa bertindak memijak naskhah al-Quran, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan, merupakan satu tindakan yang tidak boleh dipandang ringan.

“Perbuatan ini bukan sahaja satu tindakan yang sangat biadab, bahkan satu penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.

“Apabila al-Quran dipijak, maka yang tercemar bukan sekadar kertasnya, tetapi kesucian wahyu dan maruah umat. Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa apabila al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan,” titah Baginda.

Baginda menegaskan,  berdiam diri ketika agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudarnya maruah, namun pada masa sama,  Baginda mengingatkan bahawa mempertahankan kesucian agama tidak boleh dilakukan secara melulu atau mengikut emosi.

Memetik kata-kata tokoh ulama tersohor, Buya Hamka, Paduka Baginda bertitah bahawa ungkapan “jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kapan” bukanlah seruan kepada keganasan, sebaliknya peringatan tentang tanggungjawab moral setiap Muslim untuk mempertahankan maruah agama.

“Islam menuntut ketegasan, tetapi dalam lingkungan keadilan. Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan. Jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi,” titah Paduka Baginda lagi.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Masjid Baharu Felda Jengka 19 dan memasyhurkannya dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Felda Jengka 19 di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Azizah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta anakanda baginda yang lain.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agama Islam menuntut ketegasan dalam lingkungan keadilan, namun umat Islam tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku dan tidak boleh membalas juga dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan.

Baginda turut mengingatkan umat Islam agar terus mempertahankan agama dengan tegas dan pada masa yang sama menghormati penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman.

“Sebagai Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, saya menegaskan bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam hendaklah ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang. Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama,” titah baginda.

Sultan Pahang turut menyeru seluruh rakyat beragama Islam di negeri ini agar kembali kepada al-Quran seperti membacanya, memahami maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Nor Hisham Mohammad dan barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri Pahang.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment