10 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 25 Jan. – Kementerian Kesihatan melaporkan 10 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan kini 31,902 orang, daripada lebih 2.83 juta kes positif yang dikesan.

Menurut data di portal COVIDNOW, satu kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses pengesahan sama ada pesakit meninggal dunia akibat pandemik tersebut.

Sementara itu, terdapat 45,208 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 37,772 individu atau 83.6 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,528 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 2,762 kes dirawat di hospital dan 146 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 81 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 65 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment