KAJANG 27 – Satu kenyataan akan dikeluarkan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan sudah mengadakan perbincangan mengenai RCI itu.
“Kita dah bincang elok tadi, nanti ada kenyataan (akan dikeluarkan),” katanya selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dan Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong Kian Young.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata, beliau akan mencadangkan kepada mesyuarat Kabinet, hari ini, supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng pula mengumumkan parti akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai ini bagi perwakilan parti memutuskan sama ada pemimpin mereka harus melepaskan jawatan kerajaan atau tidak.
Bagaimanapun, kongres khas itu mungkin diawalkan jika mesyuarat Kabinet menolak cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan bahawa SPRM bersekongkol dengan ‘mafia korporat’.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan berkait isu pemilikan saham oleh Azam yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Mnnn
