KUALA LUMPUR 26 Feb. – Keanggotaan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan terus kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) apabila pemilihan yang dijadualkan tahun ini ditangguhkan kepada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU16.
Penangguhan itu bagi memberi tumpuan penuh kepada persiapan jentera parti menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU-16.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan sebulat suara itu dicapai dalam Mesyuarat MKT UMNO hari ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.16.1 dan Fasal 10.16.2.
“Ini bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan PRN dan PRU-16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan mesyuarat sudah memperincikan beberapa ketetapan penting termasuk penetapan tarikh persidangan tahunan di semua peringkat parti bagi 2026.
Katanya, Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan akan berlangsung dari 1 April hingga 17 Mei ini, manakala Mesyuarat Perwakilan Bahagian diadakan pada 1 Jun hingga 12 Julai akan datang.
Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) pula dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos depan.
Sementara itu, sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 pada tahun ini, UMNO Malaysia akan menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei dan Konvensyen UMNO sebagai acara kemuncak sambutan bersejarah yang akan diadakan pada 2 Mei 2026 bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre.
Nnn
