KUALA LUMPUR 26 Feb. – Blok pembangkang mencadangkan kerajaan tidak meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa Peguam Negara serta RUU berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya mengesyorkan kedua-dua draf akta itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dahulu dan membuat pindaan yang sewajarnya,
“Pembangkang mengharapkan RUU ini dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Kalau boleh ditarik daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua Isnin ini, ” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Setiausaha Agung Pas itu mendakwa RUU bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kerana didakwa menyentuh serta mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.
Mengikut Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, katanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam beberapa perkara tertentu termasuk pelantikan Perdana Menteri tanpa perlu terikat kepada nasihat mana-mana pihak.
“Perkara 43(2)(a) berbunyi Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri iaitu seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Tiada ada apa-apa syarat 10 tahun, 20 tahun, lima tahun… tidak ada. Jadi dengan membuat pindaan ini pada pandangan kami, ianya bercanggah dengan Perkara 40 prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan juga Perkara 43(2)(a) iaitu hak budi bicara untuk melantik Perdana Menteri siapa saja asal dia seorang Ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Pembangkang juga menyifatkan RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan di Dewan Rakyat bukan satu reformasi menyeluruh, sebaliknya ia didakwa memindahkan kuasa sedia ada tanpa mewujudkan mekanisme semak dan imbang.
Takiyuddin berkata kebimbangan utama yang dibangkitkan sejak sekian lama oleh pembangkang serta masyarakat sivil adalah berkaitan keluasan kuasa Peguam Negara seperti diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding jenayah, kecuali prosiding di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Tentera.
“Kuasa ini bersifat mutlak atau absolute discretion, termasuk untuk memulakan, meneruskan atau menarik balik sesuatu pendakwaan. Inilah yang sekian lama menjadi kebimbangan masyarakat sivil kerana kuasa tersebut terlalu besar tanpa mekanisme semak dan imbang yang mencukupi,” katanya.
Melalui pindaan yang dicadangkan, beliau mendakwa apa berlaku hanyalah pemindahan kuasa secara ‘copy and paste’ (salin dan tampal) walaupun Perkara 145 dipinda dan kuasa Peguam Negara dilihat seolah-olah dikurangkan, dan peruntukan yang sama dipindahkan hampir sepenuhnya kepada Pendakwa Raya.
Beliau mengambil contoh, Perkara 145B(1) memperuntukkan bahawa Pendakwa Raya mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan dengan perkataan yang hampir sama seperti peruntukan terdahulu bagi Peguam Negara.
Ini bermakna kuasa mutlak itu tidak dihapuskan, sebaliknya hanya dipindahkan daripada Peguam Negara kepada Pendakwa Raya. Perkara yang menjadi perhatian pihak pembangkang ialah ketiadaan mekanisme akauntabiliti dan semak imbang terhadap Pendakwa Raya.
“Seorang menteri bertanggungjawab kepada Parlimen dan Kabinet, namun Pendakwa Raya tidak bertanggungjawab secara langsung kepada mana-mana institusi dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.
Nnnn
