Tindakan SPRM, amaran kepada pengusaha

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan penguat kuasa yang disyaki menjadi orang tengah kartel tonto merupakan satu amaran keras kepada pihak berkenaan bahawa mereka sedang diperhatikan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, juga mengingatkan pengusaha-pengusaha lori, yang membayar tonto-tonto untuk mendapatkan maklumat operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang sedang dikenal pasti.

“Jangan rasa dan jangan ingat bahawa kita tidak tahu apa yang anda buat, termasuklah pengusaha-pengusaha lori, yang membayar tonto-tonto ini untuk mendapatkan maklumat… mereka juga sedang dikenal pasti,” katanya.

Justeru Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong penuh tindakan SPRM menyiasat serta menahan penguat kuasa yang disyaki menjadi orang tengah kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah perlindungan haram terhadap kenderaan perdagangan.

Loke, berkata beliau sudahpun dimaklumkan lebih awal mengenai operasi bersepadu dijalankan JPJ dan SPRM itu bagi mempertahankan imej, kredibiliti serta integriti jabatan daripada elemen negatif yang tidak boleh dikompromi.

Sebelum ini, katanya, beliau turut menerima pelbagai aduan, termasuk daripada pengusaha lori, mengenai pembabitan penguat kuasa didakwa membocorkan maklumat operasi kepada pihak luar sebelum tindakan diambil.

“Perkara ini telahpun berlaku beberapa kali dalam masa beberapa bulan sebelum ini.

Saya telah mengadu kepada Ketua Pengarah dan juga Pengarah Penguat Kuasa JPJ, justeru mereka membuat persiapan bersama SPRM untuk mengambil tindakan.

“Hasil siasatan dan pengintipan, didapati memang ada pihak dalaman (disyaki) terbabit, maka tangkapan telah dibuat semalam,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Ihya Ramadan Bersama Anak Yatim dan Media, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC,  Azhar Ahmad.

Loke berkata, situasi yang berlaku sebelum ini juga menyebabkan operasi besar-besaran bagi menangani isu kenderaan komersial membawa muatan berlebihan kurang berkesan.

Beliau berkata, ini berikutan pengusaha lori yang degil sebelum itu, bertindak mematuhi had muatan pada hari operasi selepas menerima maklumat awal.

SPRM hari ini menahan reman 13 individu, termasuk tiga anggota penguat kuasa disyaki mendalangi kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi pemilik-pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung.

Perintah reman selama tiga hari hingga 27 Februari ini terhadap semua suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Related posts

Leave a Comment