PARIS – Perjanjian bagi mengelakkan pertembungan ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) kini dalam jangkauan, dua hari sebelum rundingan antara kedua-dua musuh itu dijadualkan bersambung di Geneva.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata, ada peluang bersejarah untuk mencapai perjanjian luar biasa yang menangani kebimbangan bersama serta memenuhi kepentingan bersama.
“Perjanjian itu dalam jangkauan, namun hanya jika diplomasi diberi keutamaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial menjelang pusingan ketiga rundingan pada Khamis ini di Geneva,
Rundingan itu susulan penempatan besar-besaran tentera AS di rantau berkenaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta ancaman oleh Presiden Donald Trump untuk melancarkan serangan ke atas Iran sekiranya tiada perjanjian dicapai.
Iran sering menegaskan akan bertindak balas tegas terhadap sebarang serangan dan Kementerian Luar memberi amaran sebarang serangan, walaupun terhad, akan dianggap sebagai tindakan pencerobohan.
Semalam, Araghchi berikrar Iran dalam apa juga keadaan tidak akan membangunkan senjata nuklear, namun menegaskan hak negara itu untuk memanfaatkan faedah teknologi nuklear bagi tujuan aman.
Iran dan AS mengadakan lima pusingan rundingan nuklear tahun lalu, namun perbincangan itu berakhir susulan serangan luar biasa Israel ke atas Iran yang mencetuskan perang selama 12 hari.
Gelombang awal protes bermula pada Disember, tercetus akibat kesukaran ekonomi di negara yang dikenakan sekatan itu, sebelum berkembang menjadi demonstrasi di seluruh negara yang memuncak pada 8 dan 9 Januari,
Agensi Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di AS merekodkan lebih 7,000 kematian, sambil memberi amaran angka sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi.
