BAITULMUQADDIS – Menteri Hal Ehwal Keselamatan Israel berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir dilaporkan memasuki kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa, semalam ketika solat Jumaat pertama Ramadan.
Berdasarkan rakaman yang dikongsi di media sosial, beliau tiba melalui Pintu Maghribi dengan diiringi Pesuruhjaya Polis Israel, Daniel Levy serta Komander Polis Daerah Baitulmuqaddis, Avshalom Peled.
Menurut laporan agensi berita Palestin, Wafa, Ben-Gvir kelihatan membuat kenyataan berunsur provokasi yang ditujukan kepada rakyat Palestin di hadapan pegawai polis Israel.
Pintu Maghribi yang terletak berhampiran Tembok Al-Buraq, adalah antara pintu utama ke Masjid Al-Aqsa di bawah kawalan Israel sejak 1967 dan kerap digunakan pasukan keselamatan dan penduduk penempatan Israel untuk memasuki kompleks masjid berkenaan.
Sementara itu, menurut laporan ArabNews, pentadbiran Gabenor Baitulmuqaddis memaklumkan tindakan menteri itu berlaku ketika Israel mempertingkatkan langkah keselamatan serta bertindak mengenakan sekatan lebih ketat terhadap rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki sepanjang Ramadan.
Bagaimanapun, menurut angka yang diberikan Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis, dianggarkan 80,000 jemaah menunaikan solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa.
Pasukan keselamatan Israel mengenakan kawalan ketat terhadap rakyat Palestin yang melakukan perjalanan dari Tebing Barat ke Baitulmuqaddis.
Nnnn
