LONDON – Kerajaan Britain sedang mempertimbangkan untuk membentangkan rang undang-undang menyingkirkan bekas Putera Andrew daripada senarai pewarisan takhta diraja sekaligus menghalang Andrew Mountbatten-Windsor, gelaran rasminya sekarang, daripada menjadi raja.
Langkah itu susulan kekecohan awam selepas beliau ditahan berikutan pendedahan baharu berkaitan pesalah seks Amerika Syarikat (AS) yang disabitkan kesalahan, Jeffrey Epstein.
Ahli politik UK menyuarakan bantahan terhadap bekas Putera Andrew selepas beliau ditahan pada Khamis lalu, atas syak wasangka salah laku dalam jawatan awam susulan pendedahan terbaharu dalam dokumen yang dikeluarkan di AS berkaitan Epstein, yang meninggal dunia dalam sel penjara pada 2019.
Kali terakhir terakhir turutan pewarisan takhta diubah melalui akta Parlimen ialah pada 2013 menerusi Akta Pewarisan Takhta yang mengembalikan hak individu yang sebelum ini dikecualikan kerana berkahwin dengan penganut Katolik.
Manakala kali terakhir seseorang dikeluarkan daripada senarai pewarisan melalui akta parlimen adalah pada 1936, apabila bekas Raja Edward VIII dan keturunannya dikeluarkan berikutan turun takhta kerana keinginan baginda untuk berkahwin dengan Wallis Simpson, seorang janda.
Pada Khamis, Andrew, 66, ditahan oleh Polis Thames Valley sebelum dibebaskan 11 jam kemudian.
Terdahulu pada 9 Februari lalu, selepas pengeluaran besar-besaran fail berkaitan Epstein dikeluarkan di AS bulan sebelumnya, polis memaklumkan mereka sedang menilai laporan dakwaan salah laku “selaras dengan prosedur sedia ada.
Adinda kepada Raja Charles itu pernah berkhidmat sebagai utusan perdagangan UK dari 2001 hingga 2011. Beliau menarik diri daripada tugas diraja pada 2019 selepas hubungannya dengan Epstein didedahkan kepada umum.
Nnnn
