BAITULMUQADDIS – Sheikh Muhammad Al‑Abbasi, imam kanan di Masjid Al-Aqsa memaklumkan, pihak berkuasa Israel menghalangnya daripada memasuki kawasan masjid itu, selama seminggu berkuat kuasa Isnin lalu.
Beliau yang baru kembali ke Al-Aqsa sebulan lalu selepas setahun berada di hospital akibat kemalangan jalan raya yang serius berkata, arahan itu boleh dilanjutkan dan tiada makluman mengenai punca sekatan tersebut.
“Larangan ini sangat berat bagi kami kerana jiwa kami terikat dengan Al-Aqsa. Al-Aqsa adalah kehidupan kami,” katanya.
Sebelum ini, polis Israel mengumumkan cadangan mengeluarkan 10,000 permit kepada penduduk Palestin dari Tebing Barat yang memerlukan kelulusan khas untuk memasuki Baitulmuqaddis.
Pegawai kanan polis Israel, Arad Braverman berkata, ribuan anggota keselamatan akan dikerahkan “siang dan malam” di sekitar kawasan masjid, termasuk semasa solat Jumaat yang dijangka menarik jumlah jemaah paling ramai.
Pihak Gabenor Baitulmaqdis Palestin pula dimaklumkan, kriteria permit kekal sama seperti tahun lalu — lelaki berusia 55 tahun ke atas dan wanita 50 tahun ke atas.
Pihak berkuasa Israel turut dilaporkan menghalang Waqf Islam, badan yang diuruskan Jordan, daripada menjalankan persiapan rutin Ramadan seperti pemasangan khemah teduhan serta penyediaan klinik perubatan sementara.
Sumber Waqf memaklumkan, 33 kakitangan organisasi itu turut dikenakan larangan memasuki kawasan Al-Aqsa sepanjang minggu menjelang Ramadan.
Nnnnn
