20,000 tunggu dapat rawatan

GAZA CITY – Lebih 20,000 rakyat Palestin yang sakit dan cedera di Semenanjung Gaza sedang menunggu untuk ke luar negara bagi mendapatkan rawatan ketika Israel terus mengendalikan lintasan sempadan Rafah dengan Mesir di bawah sekatan ketat.

Israel membuka semula bahagian Palestin di lintasan Rafah pada 2 Februari lalu selepas mendudukinya sejak Mei 2024, namun di bawah syarat yang amat ketat.

Ramai mangsa cedera memerlukan prosedur pembedahan lanjutan yang tidak tersedia di dalam Gaza berikutan sekatan dan serangan berulang terhadap sistem penjagaan kesihatan, tambahnya.

Walaupun Israel mengumumkan pembukaan semula lintasan itu, jumlah individu yang dibenarkan melakukan perjalanan kekal terhad dan tidak sepadan dengan skala bencana kesihatan yang berlaku.

Pada 5 Februari lalu, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di wilayah Palestin yang diduduki menyatakan bahawa individu yang pulang memaklumkan selepas melintasi sempadan, mereka dibawa oleh lelaki Palestin bersenjata yang disokong tentera Israel ke sebuah pos pemeriksaan tentera Israel, di mana sebahagian mereka digari, ditutup mata, diperiksa, diugut dan barangan mereka dirampas.

Susulan dakwaan itu, dua pertubuhan hak asasi manusia Israel, Adalah dan Gisha, menggesa agar dihentikan “dasar penderaan dan sekatan tidak sah” yang dikenakan terhadap penduduk Gaza yang ingin kembali melalui Rafah, dengan memberi amaran bahawa langkah itu bersamaan dengan “pengusiran paksa”.

Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran, mekanisme sekatan berterusan di Rafah, had jumlah pengembara dan kelewatan pemindahan perubatan mengancam nyawa ribuan pesakit serta memperdalam krisis kemanusiaan.

Ia menggesa supaya lintasan itu dibuka secara kekal dan tetap bagi memastikan pesakit dan individu cedera dapat melakukan perjalanan tanpa sekatan atau kelewatan.

Related posts

Leave a Comment