Pencemaran bunyi jejas burung

PARIS – Satu kajian mendapati, pencemaran bunyi sedang menjejaskan tingkah laku burung di seluruh dunia, mengganggu pelbagai aspek daripada nyanyian mengawan hingga ke keupayaan mencari makanan dan mengelak pemangsa.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B itu mendapati bukti jelas mengenai kesan “menyeluruh” pencemaran bunyi terhadap burung di seluruh dunia.

Penyelidik mengkaji hampir empat dekad kajian saintifik dan mendapati bunyi yang dihasilkan manusia mengganggu kehidupan burung di enam benua serta memberi “kesan negatif yang kuat” terhadap kejayaan pembiakan.

Kajian terdahulu terhadap spesies individu menunjukkan bahawa sumber tunggal bunyi buatan manusia — seperti pesawat, lalu lintas dan pembinaan — boleh memberi kesan kepada burung sebagaimana hidupan liar lain.

Namun bagi kajian ini, pasukan penyelidik menjalankan analisis lebih luas dengan menggabungkan data yang diterbitkan sejak 1990 melibatkan 160 spesies burung bagi mengenal pasti sebarang corak umum.

Kajian itu mendapati bunyi memberi kesan ketara terhadap komunikasi, tingkah laku berisiko, pencarian makanan, pencerobohan dan fisiologi, serta mempunyai kesan besar terhadap penggunaan habitat dan kesan negatif terhadap pembiakan.

Ini kerana burung bergantung kepada maklumat akustik untuk kelangsungan hidup, menjadikan mereka sangat terdedah kepada kebisingan moden yang dihasilkan oleh kereta, jentera dan kehidupan bandar.

Menurut penyelidik, Natalie Madden, burung menggunakan nyanyian untuk mencari pasangan, panggilan untuk memberi amaran tentang pemangsa, dan anak burung membuat panggilan meminta makanan untuk memberitahu ibu bapa bahawa mereka lapar.

“Jadi jika terdapat bunyi yang kuat di persekitaran, adakah mereka masih boleh mendengar isyarat daripada spesies mereka sendiri?”kata Natalie Madden, yang mengetuai penyelidikan ketika berada di Universiti Michigan, dalam satu kenyataan.

Dalam sesetengah kes, pencemaran bunyi mengganggu paparan mengawan, menyebabkan burung jantan mengubah lagu rayuan mereka atau menutupi mesej antara anak burung dan ibu bapa.

Tindak balas berbeza mengikut spesies, dengan burung yang bersarang hampir dengan tanah mengalami kemudaratan pembiakan yang lebih besar, manakala burung yang menggunakan sarang terbuka mengalami kesan lebih kuat terhadap pertumbuhan.

Burung yang hidup di kawasan bandar pula cenderung mempunyai tahap hormon tekanan yang lebih tinggi berbanding yang berada di luar bandar.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment