PUTRAJAYA 15 Nov. – Sebanyak 1,208 jangkitan baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara meningkat kepada 47,417 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau memberitahu, daripada 1,208 kes baharu pada hari ini, Kuala Lumpur melaporkan enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Kesemua kes import tersebut melibatkan bukan warganegara yang tiba dari negara Indonesia, Bangladesh dan Nepal (masing-masing satu kes) dan India sebanyak tiga kes,.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini sebanyak 12,323 kes.
Beliau berkata jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini ialah sebanyak 104 dan daripada jumlah itu, 42 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Katanya, Malaysia juga merekodkan 1,013 kes yang telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 34,785 kes yang bersamaan dengan 73.4 peratus.
Dalam tempoh 24 jam juga, Malaysia mencatatkan pertambahan tiga kes kematian baharu yang melibatkan dua wanita dan satu lelaki di Sabah.
Ia sekali gus menjadikan angka keseluruhan kes kematian sebanyak 309 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes
Tiga kluster yang dikenal pasti hari ini ialah Kluster Plaza di Kota Kinabalu; Kluster Jalan Kalabakan, Tawau, Sabah dan Kluster Jeri, di Kota Tinggi, Mersing dan Muar, Johor.