Zailah persoal kalimah diguna Kor Ming

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Kekerapan Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat hari ini mendapat teguran Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang).

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu menyifatkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menggunakan kalimah seperti Alhamdulillah bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam.

“YB dalam penggulungan banyak guna kalimah orang Islam, nak sujud syukur, Alhamdulillah, bersyukur, adakah YB beriman? Adakah percaya dengan Allah? Kami tak mahu kalimah ini dipermainkan.

“Ini seolah-olah sentuh 3R (isu sensitif berkaitan raja, agama dan kaum) yang kami diminta menjaga (percakapan), kami tak nak ia mengelirukan orang bukan Islam, kalau YB orang Islam, saya tak kisah,” katanya.

Beliau mencelah ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kor Ming dalam jawapan balasnya meminta Siti Zailah bertenang dan tidak terlalu emosional.

“Jangan emosi, kita rasionalisasi. YB kad pengenalan 03, saya pun 03. Saya juga anak Kelantan. Sebab itu saya kata, kita anak Malaysia, kita hormati agama Islam sebagai agama Persekutuan, mana ada dipermainkan.

“Itu (tuduhan sedemikian) kurang elok. Sebagai orang beriman saya yakin YB pun harap kita sama-sama hormat-menghormati, malah dalam kerangka MADANI itu ada hormat dan ehsan.

“Alhamdulillah itu perkataan Arab, sebagaimana insya-Allah bermakna ‘if God willing” (dengan izin Allah), jadi (ini bermaksud) saya bersyukur,” katanya.

Beliau turut berharap isu terbabit tidak diperbesarkan, kerana ia hanya cenderung membawa kepada keretakan dalam perpaduan kaum di negara ini.

Bagaimanapun tindakan Kor Ming mendapat sokongan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang menyuarakan kekagumannya berikutan Timbalan Pengerusi DAP itu sering menggunakan kalimah sinonim dengan masyarakat Islam.

“Sebagai orang Islam, saya sangat berbesar hati apabila YB mampu mengucapkan kalimah yang sering digunakan masyarakat Islam.

“Kalau di negara Arab, perkataan (seperti Alhamdulillah) biasa digunakan tak kira dalam kalangan Islam atau tak, saya berbangga dan doakan mudah-mudahan YB diberi hidayah oleh Allah SWT,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment