AYER KEROH 4 Feb. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh masih kekal sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, sehingga keputusan muktamad dibuat, kata Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.
Beliau memberitahu, surat peletakan jawatan Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau masih belum dibincangkan secara rasmi antara beliau dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
“Surat peletakan jawatan Dr Muhamad Akmal masih dalam pertimbangan lagi, malah saya masih belum berunding dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Tun (Dr Mohd Ali) lagi.
“Buat masa ini, beliau kekal sebagai Exco kerana tiada keputusan muktamad sama ada peletakan jawatannya diterima atau ditolak,” katanya selepas menghadiri Program Hari Exco Bersama Rakyat (HEBAT) di Seri Negeri, di sini hari ini.
Pada program bulanan itu, semua Ahli Exco Negeri turun padang berinteraksi secara langsung dengan rakyat melalui pelbagai pengisian termasuk penyampaian perkhidmatan kerajaan, sesi libat urus serta penyelesaian isu setempat yang dibangkitkan masyarakat.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin turut mengambil bahagian mendengar permasalahan yang berkaitan dengan isu pembangunan luar bandar serta pertanian.
Pada 20 Januari lalu, Ab Rauf mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Dr Muhamad Akmal sebagai Ahli Exco Melaka sejurus selepas mesyuarat mingguan Exco di Port Dickson.
Dr Muhamad Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 15 Januari lalu.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 271 daipada 470 aduan rakyat yang dikemukakan sempena Program HEBAT hari ini.
Katanya, baki aduan yang belum dapat diselesaikan masih dalam perhatian kerajaan negeri kerana sebahagiannya membabitkan beberapa isu yang memerlukan penelitian lanjut oleh agensi berkaitan.
Nnnn
