SHAH ALAM 4 Feb . – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Dr Malik Yatam, bekas banduan pertama yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika dalam penjara.
Beliau sebelum ini diberi pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan baginda pada tahun 2024.
Selangor Royal Office dalam satu kenyataan pada pertemuan itu, baginda berkenan bertanyakan khabar dan perancangan masa hadapan Malik selepas keluar penjara pada 11 Disember 2024 yang lalu.
Baginda amat terharu dengan kisah perjalanan hidup Malik dan baginda merasakan beliau layak diberi peluang kedua.
“Baginda sudah mempertimbangkan pengampunan sebaik melihat semua faktor yang disembah maklum semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024,” demikian menurut kenyataan Selangor Royal Office hari ini.
Dalam pertemuan yang berlangsung hampir sejam dalam suasana yang hening, sedih dan pilu itu, baginda turut menasihatkan Malik agar terus menjaga nama baik keluarga dan sentiasa bersemangat untuk memperbaiki taraf hidup.
“Ini adalah pertemuan pertama seumpamanya antara Tuanku Sultan Sharafuddin dengan seorang bekas banduan yang mendapat pengampunan daripada baginda,” kata kenyataan itu.
Selama 24 tahun menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS), hukuman yang tidak ada tarikh bebas, tidak dijatuhkan hukuman mati kerana ketika kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun.
Beliau yang kini berusia 39 tahun menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, berjaya memperoleh PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan, hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Ketika berusia 14 tahun, Malik mengambil keputusan nekad berhijrah ke Semenanjung dari Sabah demi membantu keluarga selepas berhenti sekolah kerana kesempitan hidup.
Bagaimanapun, perjalanan hidup Malik yang turut dikenali dengan nama Dr Murad berubah sepenuhnya apabila dia akhirnya menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan majikan sehingga membawa kepada tragedi yang menghantarnya ke penjara seawal usia 14 tahun.
Malik menjalani kehidupan selama 24 tahun di sebalik jeriji besi sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS), malah dia sempat merasakan masa depannya gelap dan hancur namun mula menyedari pendidikan boleh mengubah hidupnya biarpun dia tiada tarikh pembebasan.
Tanpa guru dan kelas, dia memulakan pembelajaran dengan hanya meminjam buku rakan, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2006 ketika berusia 21 tahun sebagai calon persendirian, diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setahun kemudian.
Dia kemudiannya menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sehingga akhirnya dianugerahkan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan sekali gus mencipta sejarah sebagai prospek pertama menggenggam PhD ketika menjalani hukuman.
