Hamas sedia serah aset kerajaan

GAZA – Hamas memuktamadkan rancangan untuk menyerahkan aset kerajaan dan pentadbirannya kepada Jawatankuasa Kebangsaan Gaza, yang akan mengambil alih kawalan Semenanjung Gaza.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, proses penyerahan akan bermula serta-merta selepas ketibaan jawatankuasa berkenaan di Gaza melalui pintu Rafah dan akan dijalankan secara telus serta menyeluruh merangkumi semua sektor.

Beliau berkata, sebuah badan peringkat tinggi telah dibentuk bagi memantau proses berkenaan, melibatkan wakil daripada puak-puak Palestin, pemimpin kabilah, tokoh masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa.

Qassem menggesa semua pihak supaya mempermudah tugas jawatankuasa itu, sambil menyifatkannya sebagai penting bagi pemulihan Gaza selepas apa yang disebutnya sebagai “malapetaka” akibat perang Israel selama dua tahun.

Bagaimanapun, seorang ahli Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Semenanjung Gaza Aed Yaghi berkata, masalah teknikal setakat ini menghalang ahli jawatankuasa daripada memasuki kawasan itu melalui lintasan Rafah.

Aed Yaghi dalam satu sidang media berharap jawatankuasa itu dapat memasuki Gaza dalam beberapa hari lagi namun tidak memperincikan halangan yang dihadapi.

Setakat ini, badan itu masih belum mempunyai ibu pejabat atau belanjawan operasi dan kemungkinan menyewa sebuah bangunan atau plot tanah di Bandar Gaza  untuk memulakan tugas,

nnn

Related posts

Leave a Comment