AS kurang tarif barangan import India

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengurangkan tarif terhadap barangan import dari India kepada 18 peratus, memansuhkan kadar tinggi sehingga 50 peratus yang sebelum ini menekan pasaran India dan mencetuskan ketegangan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Presiden Donald Trump mengumumkan demikian selepas perbualannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi dengan menyatakan langkah yang berkuat kuasa serta-merta itu dibuat atas dasar “persahabatan dan penghormatan” terhadap Modi.

Beliau turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai sebahagian usaha membuka ruang baharu kerjasama ekonomi antara dua kuasa besar demokrasi.

Sebagai timbal balas, India bersetuju menghentikan pembelian minyak dari Rusia dan akan meningkatkan import minyak dari AS serta berkemungkinan Venezuela.

Langkah itu dilihat sebagai strategi Washington untuk mengurangkan pergantungan India terhadap minyak Rusia, sekali gus mengukuhkan tekanan antarabangsa terhadap Moscow.

Modi menyambut baik pemotongan tarif tersebut, menyifatkannya sebagai perkembangan positif yang akan memberi manfaat kepada pengeluar India.

Tarif tinggi sebelum ini memberi kesan ketara terhadap pasaran India, menyebabkan prestasi bursa saham negara itu merosot dan mengakibatkan aliran keluar pelabur asing dalam jumlah besar.

Sejurus pengumuman dibuat, saham syarikat India yang tersenarai di AS melonjak, termasuk sektor teknologi dan perbankan, menandakan reaksi pasaran yang optimis.

Penganalisis menjangkakan pemotongan tarif kepada 18 peratus akan mengukuhkan daya saing produk India di pasaran Amerika, selain memberi isyarat kesediaan kedua-dua negara untuk mengurangkan ketegangan perdagangan.

Dari sudut geopolitik, langkah ini juga dilihat sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Amerika Syarikat dan India, khususnya dalam konteks kestabilan global dan pembangunan ekonomi.

Related posts

Leave a Comment