NEW DELHI – Penasihat ekonomi utama India mencadangkan dasar berasaskan umur bagi akses ke platform digital kerana pengguna muda lebih terdedah kepada penggunaan kompulsif dan kandungan berbahaya.
Tinjauan ekonomi 2025-26 melaporkan penasihat kerajaan, V. Anantha Nageswaran, membincangkan tindak balas India terhadap ketagihan digital, berkata bahawa “keluarga perlu dididik dan digalakkan untuk menetapkan had masa skrin, jam tanpa peranti dan aktiviti luar talian bersama.”
“Dasar mengenai had akses berasaskan umur boleh dipertimbangkan, kerana pengguna muda lebih terdedah kepada penggunaan kompulsif dan kandungan berbahaya,” katanya.
Katanya, platform digital “perlu bertanggungjawab dalam menguatkuasakan pengesahan umur dan tetapan sesuai umur, terutamanya bagi media sosial, aplikasi perjudian, ciri auto-main dan pengiklanan sasaran.
Menggalakkan penggunaan “peranti lebih mudah” untuk kanak-kanak, seperti telefon asas atau tablet khas pendidikan, bersama had penggunaan yang dikuatkuasakan dan penapis kandungan, “boleh mengurangkan pendedahan kepada bahan berbahaya, termasuk kandungan ganas, seksual atau berkaitan perjudian.
Cadangan ini dibuat pada masa sekurang-kurangnya dua negeri di India sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan media sosial bagi kanak-kanak.
“Kepercayaan terhadap media sosial semakin terhakis. Kanak-kanak terjebak dalam penggunaan tanpa henti, menjejaskan tumpuan dan pendidikan mereka. Wanita pula menghadapi gangguan dalam talian yang berterusan. Ini tidak boleh diabaikan.
Kami telah mengarahkan kajian mengenai rangka undang-undang untuk akses sesuai umur,” kata Nara Lokesh, seorang menteri di negeri Andhra Pradesh Selatan, di X.
India telah berkembang pesat dalam penggunaan digital dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut portal statistik dalam talian Statista, sehingga Oktober lalu, India mempunyai pengguna Facebook terbesar di dunia, dengan lebih 403 juta orang. India juga mempunyai pengguna YouTube terbesar.
Nnnn
