LILONGWE (Malawi) – Direktorat Kesihatan Awam melaporkan Mozambique merekodkan 12 kematian akibat kolera dalam tempoh 24 jam lalu, selain 135 kes baharu.
Sejak wabak semasa bermula pada September tahun lepas, kes-kes baharu melonjak di wilayah Tete, Nampula, dan Cabo Delgado, lokasi 12 kematian berlaku.
Tete, yang terletak di wilayah tengah negara di Tenggara Afrika itu, menjadi pusat wabak berkenaan dengan angka korban meningkat lebih dua kali ganda dalam beberapa hari kebelakangan ini dan 87 pesakit baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Pada 28 Januari sahaja, Mozambique merekodkan 135 kes baharu, dengan 49 pesakit dimasukkan ke hospital.
Pada 2025, seramai 169 orang meninggal dunia akibat kolera di negara itu, yang mendorong kerajaan merangka pelan pada 16 Sept tahun lalu, dengan matlamat untuk menghapuskan kolera sebagai “masalah kesihatan awam” menjelang 2030.
Jurucakap Kabinet Innocencio Impissa baru-baru ini memberitahu, “matlamatnya adalah untuk memastikan Mozambique bebas daripada kolera sebagai masalah kesihatan awam menjelang 2030, iaitu komuniti akan mendapat akses kepada air bersih, sanitasi, dan penjagaan kesihatan berkualiti dicapai melalui tindakan pelbagai sektor yang diselaraskan serta berpandukan bukti saintifik.”
