800 terima zakat Andalusia

PEKAN 31 Jan. – Mengimbau kenangan sebagai penolong pegawai daerah (ADO) Pekan turut mendorong Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), Ibrahim Mat Sin memilih 800 individu di daerah itu untuk menerima zakat.

Mereka menerima wakalah zakat sebanyak RM230,000 daripada Andalusia pada satu majlis yang dirasmikan Ahli Parlimen Pekan,  Sh Mohmed Puzi Sh Ali di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Penerima melibatkan 600 pelajar keluarga asnaf yang menerima RM200 setiap seorang manakala 200 pesakit kronik asnaf menerima RM500 setiap seorang.

“Saya mengambil keputusan memberi wakalah zakat kepada penduduk daerah ini bagi mengimbau kenangan pernah bertugas sebagai penolong pegawai daerah Pekan selama tujuh tahun dari 1982 hingga 1992,” katanya.

Beliau berharap, bantuan zakat yang disalurkan itu dapat meringankan beban penerima termasuk digunakan untuk perbelanjaan keluarga mereka.

Hadir sama pada majlis itu adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pekan (MPP), Mohamad Nasir Jusoh. dan Pegawai Daerah Pekan, Azora @ Ahmad Shamsudin.

Ibrahim berkata ini bukan kali pertama, Andalusia berkongsi rezeki bersama penduduk daerah Pekan dan berharap lebih banyak lagi bantuan diberikan kepada penduduk daerah ini sekiranya rezeki terus meningkat.

Katanya, tahun lalu pihaknya menaja 40 penduduk daerah ini menunaikan umrah dan jumlah itu ditambah kepada 45 tahun ini.

“Saya akan terus bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pekan yang akan menentukan mereka yang layak mendapat tawaran. Setiap mukim perlu menghantar nama tiga calon dan peluang ini juga diberikan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, Sh Mohmed Puzi berterima kasih kepada Andalusia yang mengambil inisiatif itu dan berharap lebih ramai usahawan Melayu yang berjaya dalam perniagaan mencontohi langkah terpuji Ibrahim.

Pada masa sama, beliau berharap penerima wakalah zakat berkenaan menggunakan bantuan disalurkan dengan baik termasuk pelajar bagi mendapatkan peralatan sekolah.

Katanya, selain membeli keperluan masing-masing sumbangan berkenaan juga dapat meringankan beban keluarga dalam persediaan memasuki bulan Ramadan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Azora berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada pihak Andalusia dalam menjayakan program bantuan kepada golongan asnaf seperti yang dilaksanakan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Andalusia dan berharap program seprti ini dapat dilaksanakan setiap tahun,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment