TANJONG 31 Jan, – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah dari kapal ke kapal bernilai lebih RM512 juta di perairan negeri ini Khamis lepas.
Pengarah Maritim Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kira-kira pukul 1 pagi, bot peronda menerima aduan, terdapat dua kapal tangki bersauh pada kedudukan 24 batu nautika barat laut Muka Head dan disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak.
Katanya , hasil pemeriksaan mendapati kedua – dua kapal itu dalam keadaan bergandingan dan disyaki melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal.
Menurut beliau, kedua-dua kapal terbabit dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah yang melibatkan 53 orang kru, dimana kesemua kru terdiri daripada warga China, Myanmar, Iran, Pakistan dan India.
“Nilai rampasan minyak mentah adalah berjumlah lebih RM512 juta, manakala nilai rampasan bagi kedua-dua kapal tangki tersebut adalah RM718 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Suffi berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia.
Ia boleh membawa hukuman sebanyak RM100,000 dan Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu melakukan aktiviti kapal ke kapal (ship to ship transfer) tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang membawa hukuman sebanyak RM200,000 ke atas kedua- dua vesel.
“Dua kapten kapal dan vesel terlibat telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan, Maritim Negeri Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan rondaan di perairan negeri ini untuk memastikan semua aktiviti di laut mematuhi peruntukan undang – undang sedia ada.
(Foto APMM)
Nnnn
