Pas gerak rakyat bantah kehadiran Trump

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang didakwanya mendukung rejim zalim ke negara ini.

Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan tokoh berkenaan sebagai ‘syaitan besar’ yang tidak sepatutnya diberikan ruang dalam negara ini, apatah lagi membawa pengaruh dari kerajaan yang dilaknat Allah SWT.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab pencelahan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berhubung Trump semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

“Apa yang dilakukan kerajaan hari ini ibarat menjemput masuk ke negeri kita satu tokoh dari kerajaan yang disebut dalam hadis dan sejarah Islam sebagai negeri yang dilaknat Allah. Nabi SAW pun larang sahabat daripada singgah di tempat itu,” katanya merujuk kepada peristiwa Nabi Muhammad SAW melalui kawasan Madain Salih.

Beliau mengimbas bagaimana Nabi SAW pernah mengarahkan sahabat membuang air yang diambil dari telaga kawasan itu kerana ia berasal dari tempat yang dimurkai Allah.

Justeru, Presiden Pas itu menegaskan pihaknya bakal menggerakkan rakyat untuk membantah kehadiran tokoh terbabit dengan sekeras-kerasnya.

“Kami akan tegaskan bahawa rakyat mesti diperingatkan agar menolak tokoh yang menjadi alat kepada kezaliman dan kejahatan dunia,” tegas beliau.

Related posts

Leave a Comment