KUALA LUMPUR 28 Jan. – Kelewatan pentauliahan Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharajalela dilapor berpunca penghantaran lewat peralatan daripada pengeluar peralatan asal (OEM) bagi pembinaan aset untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata kelewatan juga disebabkan pelaksanaan semula pemasangan perpaipan dan kabel, susulan teguran pihak berkuasa reka bentuk, iaitu Naval Group bagi memastikan LCS 1 dibuat mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Kita harus faham, kelewatan ini bukanlah sesuatu yang disengajakan. Ia berpunca daripada soal peralatan. Jadi dalam soal ini, untuk memastikan kelewatan itu benar-benar dapat diuruskan dengan baik, kita beri perhatian kepada soal penjadualan semula penghantaran peralatan OEM supaya dapat kita selaraskan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai sama ada kementerian mempunyai pelan kecemasan jika LCS 1 gagal ditauliahkan mengikut jadual.
Mohamed Khaled memaklumkan, bagi pelaksanaan semula pemasangan perpaipan dan kabel, sebanyak 4,000 unit paip LCS 1 dikaji dan dipasang semula bagi penambahbaikan.
Pada masa sama, katanya LUNAS diminta untuk mengemukakan pelan pemulihan projek kepada Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) supaya aset itu benar-benar dapat diserahkan mengikut jadual.
Mesyuarat pemantauan juga diadakan secara bulanan, berbanding dua kali setahun sebelum ini, selain LUNAS akan membina kapal itu sepanjang 24 jam sehari, dengan menyediakan pembahagian kerja secara tiga syif.
Beliau berkata, ini adalah kapal pertama yang kita buat dalam negara dan pastinya ada cabaran dan pengajaran yang didapati, tetapi yang penting ia memberi ruang untuk tenaga tempatan mendapat ilmu, pengetahuan, kemahiran dan keupayaan untuk membina kapal ini.
Katanya, apabila kapal pertama ini siap, ini akan jadi platform asas dan templat untuk kapal kedua, ketiga, keempat dan kelima dapat disiapkan.
Nnn
