PUTRAJAYA 20 Jan. – Mulai tahun 2027, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala Darjah Satu pada usia enam tahun.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membuat pengumuman itu bagaimanapun berkata, perubahan itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa.
“Maknanya tahun 2027 kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang masih merasakan anak-anak belum bersedia.
Kita tetapkan masih boleh anak-anak berusia tujuh tahun masuk Darjah Satu tetapi sangat digalakkan ibu bapa bersedia dari sekarang supaya anak-anak berumur lima tahun sudah masuk prasekolah dan Darjah Satu umur enam tahun,” katanya.
Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini berkata, keputusan itu dibuat bagi mengikut peredaran masa dan tuntutan zaman.
Jelasnya, anak-anak sekarang seawal usia lima tahun sudah mampu membezakan sesuatu perkara dan lebih matang berbanding generasi terdahulu.
“Dulu umur tujuh tahun baru layak masuk Darjah Satu. Dalam masa sama, kita akan beri tumpuan secara menyeluruh kepada sistem prasekolah. Kita minta Kementerian Pendidikan (KPM) ambil alih dan selaraskan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala persiapan mengenai perkara tersebut akan disegerakan.
“Sebab itu, saya arahkan mulai sekarang hal yang diumumkan itu perlu ada tindakan cepat oleh kementerian terlibat untuk pastikan segala kemudahan asas ditambah,” katanya.
Beliau juga mengumumkan pelaksanaan semula sistem penilaian murid sekolah rendah pada peringkat Darjah 4 sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh kualiti pendidikan negara.
Katanya, inisiatif itu diperkenal menerusi pelancaran Rancangan Pendidikan Negara yang memberi penekanan kepada penilaian awal bagi memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
“Kenapa nak tunggu Darjah 6 kalau kita boleh mulakan di Darjah 4. Tumpuan matriks pembelajaran Malaysia adalah kepada empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,” katanya.
Bagi Tingkatan 3, penilaian akan memfokuskan kepada subjek yang sama dengan penambahan subjek Sejarah.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bermula tahun ini, semua sekolah rendah dan menengah akan dilengkapi dengan kemudahan sebaik mungkin bagi memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam mata pelajaran teras.
Nnnn
