KUALA LUMPUR 15 Jan. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh hari mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka berkuat kuasa minggu depan.
Muhamad Akmal yang memegang portfolio Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka bagaimanapun mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.
Menurut Muhamad Akmal, keputusannya meletakkan jawatan itu demi kepentingan parti disebabkan suara akar umbi yang menuntut UMNO tidak lagi bersama-sama dengan DAP.
Katanya, beliau meletakkan jawatan juga adalah disebabkan tanggungjawab, prinsip dan maruah.
“Saya hari itu sudah bawa kerisauan rakyat di bawah yang tidak boleh duduk dengan DAP (dalam Kerajaan Perpaduan), orang kita marah dengan DAP dan saya akur keputusan parti kekal dalam kerajaan sehingga penghujung penggal.
Tetapi sebagai seorang pemimpin bawah yang diangkat ke atas, saya perlu akur kepada akar umbi,” katanya.
Muhamad Akmal berkata, peletakan jawatan itu juga sudah dibincang bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurut Akmal, beliau pada peringkat awal mahu melepaskan semua jawatan termasuk sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Bagaimanapun katanya, selepas mendapat nasihat Ahmad Zahid dan Ab Rauf, beliau membuat keputusan untuk tidak meletakkan jawatan dalam sayap UMNO itu kerana tidak mahu lari dari perjuangan.
“Kalau ada orang yang cakap dengan lari dari perjuangan, saya nak beritahu tidak sama sekali saya tinggalkan Pemuda UMNO pada hari ini. Bagi saya jawatan dalam kerajaan tidak penting, tetapi yang lebih penting maruah, prinsip dan suara akar umbi ini,” katanya.
Nnnnn
