SHAH ALAM 12 Jan. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup songsang, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri ini.
Baginda menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam negeri Selangor termasuk penganjuran “Glamping with Pride” seperti diuar-uarkan akan diadakan pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat, Selangor yang dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Pengerusi MAIS, Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir dalam kenyataan bersama berkata, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas negeri ini.
“Sultan Selangor juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini.
Disamping itu, baginda juga tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan LGBT di negeri Selangor,” kata kenyataan berkenaan.
Terdahulu, Salehuddin dan Anhar dititah menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan bagi menyatakan pendirian tegas baginda berhubung penganjuran program ‘Glamping with Pride’ yang dijadualkan, pada 17 dan 18 Januari ini.
Selaras dengan titah baginda, MAIS dan Mufti Selangor turut menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap sebarang bentuk penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri Selangor.
“MAIS dan Mufti Selangor menegaskan bahawa agama Islam mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth.
“Perbuatan ini adalah perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT dan menimpakan azab ke atas kaum Nabi Luth atas perbuatan itu.
“Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 84 yang bermaksud: ‘Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan,” katanya.
Salehuddin dan Anhar dalam kenyataan bersama itu juga berkata, sebarang usaha untuk mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang LGBT ini adalah bercanggah dengan maqasid syariah, khususnya dalam aspek menjaga keturunan (Hifz al-Nasl).
“Selain itu, sebarang aktiviti LGBT juga mengundang kepada normalisasi LGBT dan ia boleh menjadi satu ancaman kepada aqidah umat Islam. Ini kerana mereka menghalalkan apa yang telah jelas diharamkan oleh agama Islam.
“Mereka juga percaya bahawa manusia bebas menentukan identiti jantina sedangkan ia bertentangan dengan fitrah yangditetapkan di luar ketetapan fitrah Allah SWT,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, MAIS juga menegaskan umat Islam, khususnya golongan remaja, tidak seharusnya terikut-ikut dengan amalan dan budaya hidup barat yang mengamalkan amalan songsang ini atas dasar kebebasan hak asasi manusia.
MAIS menegaskan bahawa tidak semua kebebasan hak asasi manusia boleh diterima dan boleh dijadikan sebagai amalan masyarakat Islam jika ianya jelas bercanggah dengan ajaran agama Islam.
Berikutan dengan pendirian tegas Sultan Sharafuddin berkaitan dengan isu ini, MAIS dan Mufti Selangor menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program terbabit serta program seumpamanya di Selangor.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.
Nnn
