Pindah ladang babi ke Bukit Tagar tahun ini

SHAH ALAM 12 Jan . – Pemindahan ladang penternakan babi ke lokasi khas di kawasan Bukit Tagar, Hulu Selangor akan disegerakan tahun ini berbanding perancangan yang dijangka pada 2030, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim

Bagaimanapun katanya, langkah awal yang perlu diambil adalah penyelesaian isu tanah di Bukit Tagar termasuk status pemilikan tanah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan berkenaan.

Katanya, pemindahan ladang babi dari Kuala Langat dengan Sepang, itu tidak menggunakan sumber kewangan daripada kerajaan negeri.

“Kita akan cuba secepat mungkin untuk selesaikan isu tanah ini dan dan kita akan bincang juga kaedah macam mana untuk memudahkan penternak dapat pindah ke Bukit Tagar yang berkeluasan 202.34 hektar,” katanya.

Beliau menjelaskan, tanah di Bukit Tagar bukan milik kerajaan sebaliknya tanah ladang kelapa sawit milik seorang individu, jauh dari kawasan penduduk, penempatan orang ramai.

“Di Bukit Tagar, syarat diperketatkan dengan menggunakan konsep pertanian moden, tertutup, tiada kumbahan mengalir keluar, mesti ada dengan zon penampan besar antara ladang ke ladang dan sempadan luar, ada sistem ZDP (zero discharge policy) dan ladang dibuat secara tertutup seperti penternakan ayam,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di SUK, di sini hari ini.

Menurut Izham, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan pembaharuan lesen sementara bagi ladang penternakan babi di daerah Kuala Langat.

“Kita tidak akan keluarkan lesen berkenaan, tetapi saya akan bawa perkara ini ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini. (Lesen)…kita hanya akan keluarkan untuk tempat yang baharu nanti di Bukit Tagar.

“Saya akan bawa dulu ke MMKN untuk mendapatkan panduan seterusnya sebab keputusan ini dibuat dalam MMKN. Jadi kita perlu mendapatkan persetujuan menerusi mesyuarat itu.

“Selepas pemindahan ladang-ladang babi berkenaan, tanah-tanah di tapak ladang berkenaan akan dipulihkan semula dan dirawat sebelum dapat digunakan semula tanah-tanah untuk tujuan pertanian.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 115 ladang penternakan babi di seluruh Selangor termasuk yang beroperasi secara haram.

“Ladang ada 115 tetapi pemiliknya ada setengah itu memiliki dua hingga tiga ladang. Jadi kita akan panggil semua yang terbabit untuk proses pemindahan nanti dan selepas ini semua ladang di Kuala Langat dan Sepang akan ditutup sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, beliau menyembah maklum berhubung isu penternakan babi di negeri ini kepada Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan pagi ini dengan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Media sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Related posts

Leave a Comment