WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, pihak berkuasa interim di Venezuela telah bersetuju untuk memindahkan antara 30 hingga 50 juta tong minyak yang dikenakan sekatan ke AS untuk dijual pada harga pasaran.
Menerusi platform Truth Social, Trump berkata, minyak ini akan dijual pada harga pasaran, dan wang itu akan dikawal oleh beliau, sebagai Presiden AS bagi memastikan ia digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat Venezuela dan AS.
Presiden itu menambah, Setiausaha Tenaga Chris, Wright telah diminta melaksanakan rancangan berkenaan “dengan segera”, dengan minyak itu akan diangkut menggunakan kapal simpanan terus ke dok pemunggahan di AS.
Pengumuman ini dibuat beberapa hari selepas operasi ketenteraan AS di Venezuela yang membawa kepada penahanan Maduro.
Sementara itu, Pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez, menafikan kesahihan perjanjian tersebut dan menegaskan kerajaan sah Venezuela masih mengawal negara itu.
Sementara itu, harga minyak mentah AS susut 1.3 peratus kepada AS$56.39 setong selepas pengumuman Trump, mencerminkan ketidaktentuan pasaran terhadap perkembangan geopolitik ini.
Langkah ini dijangka mencetuskan ketegangan diplomatik, khususnya dengan negara seperti Cuba, Colombia dan Mexico, yang turut menerima amaran keras daripada Trump berikutan operasi ketenteraan tersebut.
Penganalisis antarabangsa melihat tindakan ini sebagai sebahagian strategi Trump untuk mengukuhkan kedudukan tenaga AS dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar yang tidak stabil, namun ia menimbulkan persoalan mengenai kesahan undang-undang dan implikasi geopolitik terhadap kedaulatan Venezuela.
