SEPANG 7 Jan. – Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh “mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri,” menimbulkan persoalan sama ada beliau akan meninggalkan jawatannya sebagai pemimpin sayap parti itu.
Kenyataan itu susulan ideanya untuk menuntut UMNO keluar dari kerajaan perpaduan ditolak oleh Presidennya Dr Zahid Hamidi yang menegaskan akan bersama Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Kita dah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik. Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri,” katanya menerusi Facebooknya.
Dalam masa sama, Dr Akmal menzahirkan penghargaan kepada ahli UMNO dan penyokong yang terus menyokong perjuangan parti.
“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini.
Saya percaya jika niat kita baik demi agama, bangsa dan tanah air, Insya-Allah waktunya akan sampai jua,” katanya.
Terdahulu dalam satu hantaran di Facebooknya bagi mengulas pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Bersatu, Akmal mengajak pemimpin Melayu Islam supaya bersatu dan tidak lagi bercakaran.
“Kepada Datuk Seri Saifuddin dan semua pemimpin yang masih sayangkan perjuangan ini sama ada digantung mahupun dibuang parti,saya jemput untuk kembali kepada UMNO, kita kuatkan semula kesatuan orang Melayu,” katanya.
Beliau menegaskan perpecahan dalam kalangan orang Melayu menyebabkan agama dan bangsa yang rugi di tanah air sendiri.
“Belajarlah dari kesilapan kita sebelum ini,” katanya.
Nnnnn
