Tenang, biar PAU tentukan hala tuju

SEPANG 7 Jan.  – Semua ahli dan pimpinan UMNO seharusnya kekal tenang dan berhemah, tanpa perlu menyerang, memaki atau menghina mana-mana pihak susulan perkembangan selepas Konvensyen Khas Pemuda UMNO baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Subang Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada Presiden, Majlis Tertinggi UMNO dan kepemimpinan parti untuk berbincang secara matang dan mencari penyelesaian terbaik demi masa depan UMNO.

“Saya yakin setiap pemimpin yang diberi amanah dalam parti ini mempunyai satu matlamat yang sama melihat UMNO kembali kuat, bersatu dan menjadi pilihan rakyat Malaysia. Tiada siapa yang mahu melihat UMNO hancur,” katanya.

Beliau mengulas perkembangan di media sosial berkaitan pelbagai pandangan terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,  Dr Akmal Saleh selepas beliau menggesa UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun pandangan itu ditolak dan UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Armand Azha berkata, sebagai mantan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, pandangannya jelas bahawa apa yang dibawa oleh Dr Akmal adalah suara majoriti akar umbi Pemuda di seluruh negara.

“Beliau memegang amanah untuk membawa suara sayap Pemuda ke peringkat tertinggi parti. Itulah peranan dan tanggungjawab Ketua Pemuda untuk bersuara bagi pemuda pejuang parti,” katanya.

Beliau berkata, Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri memahami perkara ini, kerana beliau juga pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia suatu ketika dahulu, terkenal sebagai pemimpin yang lantang dan tegas mempertahankan pendirian, walaupun berdepan tekanan dan risiko.

Katanya, jawatan Presiden UMNO dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bukanlah amanah yang ringan, dan setiap keputusan yang dibuat membawa implikasi besar kepada masa depan parti.

Hakikatnya kata beliau, Ketua Pemuda bersuara dikatakan melawan, Ketua Pemuda berdiam diri pula dikatakan lemah dan dikawal manakala Presiden bila berdiam diri dikatakan takut dan bika bersuara dikatakan diktator.

“Inilah realiti politik yang sedang kita hadapi saling menuding jari dan berlumba mencari kesalahan. Persoalannya, adakah budaya serangan terbuka dan makian ini menguatkan UMNO di mata rakyat, atau sebaliknya?

Oleh itu, saya konsisten menyeru semua pihak supaya bertenang, kekal tenang adalah langkah yang paling bijak.

Berikan kepercayaan kepada kepimpinan dan biarlah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan datang menjadi medan menentukan hala tuju UMNO yang lebih baik,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment