Wabak H1N1, bonus masuk 22 Ogos, pilihan raya kecil 25 Ogos

HARI ini bermulalah secara rasmi kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir. Inilah pilihan raya kecil (PRK) ketiga di kawasan Parlimen Permatang Pauh selepas Pilihan Raya Umum Mac 2008. Kali pertama, seluruh pengundi di Permatang Pauh membuang undi bagi PRK Parlimen Permatang Pauh, diikuti PRK DUN Penanti. Kini giliran DUN Permatang Pasir. Maka sekali lagi Permatang Pauh menjadi tumpuan. Semoga kempen kali ini berjalan lancar, penuh kesopanan yang sebenar lebih-lebih lagi beberapa hari terakhir kempen, umat Islam termasuk di kawasan itu akan mendapat bonus sebulan. Bukan bonus wang ringgit tetapi bonus Ramadan. Beberapa hari menjelang hari pengundian, umat Islam akan mendapat bonus Ramadan yang dijangka pada 22 Ogos. Ramadan bulan penuh keberkatan. Ganjaran pahala berlipat kali ganda pada bulan ini. Jangan kerana terlalu ghairah berkempen, terlupa ibadat pada Ramadan kerana Ramadan bukan datang selalu tetapi PRK mungkin ada lagi. Anggaplah Ramadan ini sebagai Ramadan terakhir buat kita, sementara PRK pula rasa-rasanya akan ada lagi selepas ini sama ada disebabkan ketentuan Tuhan atau pun wakil rakyat yang ada sengaja letak jawatan.

Apa pun selamat bertanding kepada saudara Rohaizat Othman dan Salleh Man. Bagi Rohaizat, anak muda dari Mengkuang Titi yang juga Penasihat Undang-Undang Syariah, ini adalah penampilan pertama beliau dalam pilihan raya. Adakah Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh ini mampu mengembalikan kerusi Permatang Pasir ke pangkuan BN? Bagi Salleh, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, ini bukan kali pertama bertanding. Sudah beberapa kali beliau mencuba pada pilihan raya umum iaitu di Sungai Dua (1986, 1990, 2008), di Permatang Berangan (1995) dan Pinang Tunggal (2004). Beliau cuma ‘berehat’ pada 1999, mungkin ketika itu tidak cukup kerusi disebabkan kehadiran Parti Keadilan Nasional. Bagaimanapun semua cubaan Salleh gagal. Apakah beliau mempunyai peluang pada kali ini? Jawapannya terletak kepada pengundi-pengundi Permatang Pasir. Mereka lebih berhak menentukannya pada 25 Ogos nanti.

Namun dalam keghairahan berkempen yang bermula dengan penamaan calon pada hari ini, jangan lupa wabak H1N1 (terserahlah nak sebut H satu N satu atau H one N one) yang semakin membimbangkan. Jumlah lima juta rakyat Malaysia yang dijangka dijangkiti bukanlah satu angka kecil.

Memang tidak dapat dinafikan, hak orang ramai berkumpul bagi meraikan calon-calon mereka tetapi pada masa yang sama soal kesihatan juga perlu dijaga. Ketika kerajaan meminta supaya perhimpunan ramai dikurangkan atau ditangguhkan, namun PRK ini tidak boleh ditunda. Ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari kekosongan berlaku sedangkan H1N1 belum tentu akan berakhir dalam tempoh tersebut.

Maka langkah penjagaan perlu diambil. Mungkin dalam kempen nanti, selitkan serba sedikit kesedaran terhadap wabak ini, jangan pula ada pihak yang menghukum pihak berkuasa seolah-olah ini musibah kerana itu dan ini. Dalam politik, ada saja pihak yang akan mengambil kesempatan menyalahkan kerajaan. Maka tidak hairanlah akan ada yang berkata, kerajaan lambat bertindak, tidak serius, tidak buat apa-apa dan macam-macam tuduhan lagi. Memang mudah untuk menuding jari dan menyalahkan orang.

Ketika sihat, tidak pula mereka menyanjung pihak kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan. Ingatlah kesihatan amat penting tetapi kadang-kadang kita lupa untuk menghargainya. Setelah ditimpa musibah, barulah sedar dan merasakan betapa nikmatnya sihat itu.

Rasulullah SAW pernah bersabda: ‘‘Daripada Ibni Abbas r.a katanya : Telah bersabda Nabi SAW: Dua nikmat yang kebanyakan orang sering terpedaya olehnya ialah kesihatan dan masa lapang’’. (Riwayat Al-Bukhari).

Penulis tertarik dengan khutbah Jumaat di Brunei Darussalam baru-baru ini. Menurut khatib, apabila diuji dengan sesuatu penyakit maka selaku seorang Muslim yang beriman, perkara utama yang perlu dilakukan ialah muhasabah diri, mengingati dan menghitung kembali kesalahan atau dosa yang telah dilakukan. Maka apabila ditimpa dengan sedikit ujian itu, wajarlah kita bersabar dan menerimanya dengan reda tanpa sebarang keluhan atau rintihan, jauh sekali menyalahkan qada dan qadar Allah SWT.

Di samping bersabar, kita juga disuruh supaya berusaha dengan mengambil langkah pengawasan diri daripada terkena sebarang penyakit seperti menjaga kebersihan diri dan menjauhi apa jua yang menjadi punca kepada penularan penyakit. Sememangnya perkara menjaga kebersihan ini telah dititikberatkan oleh ajaran agama Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah At Taubah ayat 108 :‘‘Dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)’’.

Dan sabda Rasulullah SAW lagi: ‘‘Dari Abi Malik Al-Ashari berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Ke- bersihan itu sebahagian dari iman’’. (Riwayat Al-Imam Muslim). Maka eloklah rakyat kita mengambil langkah menjaga kebersihan. Ikutilah nasihat Kementerian Kesihatan. Gunalah penutup hidung dan mulut walaupun sesetengahnya memakai dalam keadaan terbalik. Apa yang penting usaha untuk mengambil langkah pencegahan. Tidak apa terbalik, asal pakai lebih-lebih lagi yang ke rap batuk dan bersin. Sekarang H1N1 tidak lagi datang melalui pesawat dari luar negara tetapi sudah ada di dalam negara. Lebih baik kita membendung daripada ia menjadi wabak yang serius sehingga ramai yang tidak mahu berkunjung ke Malaysia. Mungkin lupakan seketika jumlah kehadiran pelancong.

Selain daripada itu, sebagai orang Islam, senjata yang paling berkesan bagi menangani perkara ini ialah dengan memperbanyakkan ibadat, zikir dan doa. Perbanyakkan istighfar dan sentiasa memohon keampunan agar dosa-dosa yang telah dilakukan diampunkan oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Tidak kurang juga yang mengadakan solat hajat beramai-ramai. Itulah ikhtiar kita bagi umat Islam. Tetapi persoalannya sejauh mana doa kita diterima-Nya? Ingatlah senarai orang yang doa mereka tidak diterima. Tidak perlu diulas doa siapa yang diterima dan doa siapa pula ditolak. Bertanyalah diri kita sendiri, adakah H1N1 juga musibah akibat perpecahan umat sehingga ada yang sanggup membiarkan agama Islam dihina? Semoga Allah menyelamatkan kita dan memberi petunjuk.

UM170809-min

 

Related posts

Leave a Comment