Semoga ETS3 ‘tidak ganggu’ pengguna komuter

TAHNIAH kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang ‘meraikan’ perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) laluan KL Sentral–Johor Bahru, seterusnya menjadi penghubung pengangkutan rel utara selatan, Padang Besar – JB Sentral.

Bagi pengguna yang mahukan perjalanan lebih pantas antara Johor Bahru – KL dan sebaliknya tentu menyambut baik kerana ETS3 dijangka mengurangkan masa perjalanan kepada sekitar 4.5 jam, berbanding jalan raya, lima hingga tujuh jam.

Perkhidmatan ini juga diharap dapat menjana pendapatan KTMB walaupun sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tanggungjawab sosial perlu digalas berbanding mengaut keuntungan melalui perkhidmatan komuter dan ETS.

Seperti kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, perkara lebih mustahak adalah untuk KTMB tambah baik perkhidmatan komuter dan ETS walaupun hakikatnya perkhidmatan komuter memang rugi disebabkan tambang murah.

Tidak pasti berapa lama lagi KTMB perlu menunggu untuk meraih keuntungan daripada segi operasi ataupun mampu mencapai ‘break even’. Mungkin setelah tren yang ada sekarang uzur, lupus dan diganti baharu!

Pada masa yang sama, berusahalah untuk meminimakan kos, tidak tergesa-gesa membuat perubahan sehingga ada kemudahan yang tersadai seperti pernah melibatkan peralatan berkaitan tiket. Itu yang pengguna dapat lihat.

Menaikkan tambang adalah sesuatu yang sukar diterima pengguna. Selak kembali tambang perkhidmatan feri Pulau Pinang suatu masa dulu. Namun akhirnya kenaikan tidak dapat dielak dan pengguna tiada pilihan dengan kadar baharu.

Apapun digarapkan KTMB dapat pulih daripada kerugian apabila kesemua infrastruktur berkaitan landasan siap sepenuhnya dan pada ketika itu dapat memberi perkhidmatan terbaik dan memuaskan pengguna.

Dengan perkhidmatan terbaik tentunya tambang yang ‘tinggi’ lebih berbaloi dan dapat diterima pengguna khususnya komuter.

Pada masa yang sama diharapkan pengenalan perkhidmatan ETS3 KL Sentral–Johor Bahru ini tidak mengganggu jadual perjalanan pengguna komuter khususnya melibatkan laluan Pulau Sebang/Seremban – KL Sentral/Batu Caves.

Sehingga hujung bulan ini, terdapat empat perjalanan ETS3 pergi balik, dua berlepas dari KL Sentral (7.45 pagi dan 5.35 petang) dan dua dari JB Sentral (8.40 pagi dan 4.20 petang). Tahun depan akan ditambah empat lagi perjalanan.

Apakah kesannya kepada pengguna komuter harian yang sering berulang alik ke tempat kerja khususnya antara Seremban dan Kuala Lumpur? Diharapkan perjalanan mereka tidak terjejas apatah lagi di kawasan ‘satu landasan’.

Harus diingat, laluan Pulau Sebang/Seremban – KL Sentral/Batu Caves ini mempunyai stesen pertukaran penting untuk kemudahan pengguna menyambung perjalanan mereka dengan lebih cekap.

Di stesen Kajang, pengguna dari Selatan boleh memilih MRT untuk ke Kuala Lumpur dan destinasi pilihan; di Bandar Tasek Selatan pula stesen pertukaran untuk LRT, ERL (KLIA) dan perkhidmatan bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Tidak dinafikan perkongsian landasan melibatkan perkhidmatan komuter, ETS, tren antara bandar dan kargo sedikit sebanyak mengganggu ‘kecekapan’ perkhidmatan yang hanya dapat dirasai pengguna setia komuter.

Kebanyakan pengguna setia komuter sudah lali. Tidak ada pilihan. Itu sahaja yang ada. Mahu tidak mahu kena bersabar apabila memasuki tren komuter. Mereka faham dengan pengumuman “Pemahaman anda amat kami harapkan….”

Hakikatnya, “landasan berkembar” belum siap sepenuhnya menyebabkan tren komuter sering tergendala bagi memberi laluan tren di kawasan satu landasan melibatkan laluan Salak Selatan – Batang Benar – Salak Selatan.

Benarlah “kesulitan hari ini untuk keselesaan pada masa depan,”.

Dan seperti dijangka, KTMB akan memperkenalkan jadual baharu mulai 1 Januari dengan kekerapan waktu puncak masih bertahan tetapi selepas waktu puncak, pengguna terpaksa menunggu antara satu hingga tiga jam.

Mulai tahun depan, komuter pertama dari Pulau Sebang ke Batu Cave bermula seawal pukul 4.30 pagi dijadualkan tiba di Seremban 5.11 pagi; stesen Kajang 6.07 pagi; Bandar Tasek Selatan 6.26 pagi, KL Sentral 6.47 pagi dan Batu Caves 7.16 pagi.

Saya merujuk stesen Kajang kerana seperti disebut di atas, di situ pengguna boleh memilih MRT untuk ke Kuala Lumpur dan destinasi pilihan; Bandar Tasek Selatan stesen pertukaran untuk LRT, ERL (KLIA) dan ke TBS untuk bas ekspres.

Tren berikutnya, pukul 5.30 pagi yang akan bermula dari stesen Pulau Sebang dan Sungai Gadut dan berikutnya 5.50 (Pulau Sebang) dan 6.05 (Pulau Sebang).

Dan jika terlepas 6.05 pagi ini, penumpang akan menunggu sehingga 8.05 pagi diikuti 9.05; 10.55. Tiada perkhidmatan waktu tengah hari dari Pulau Sebang sehinggalah tren berikutnya 14.05 seterusnya 16.00; 18.20; 19:40 dan terakhir 21:15.

Terdapat satu perkhidmatan dari Kajang ke Batu Caves pada pukul 8.45 pagi dan 19:09 serta dari Salak Selatan 12.11; 12:56; 15:11 dan 22:22.

Sehingga siap sepenuhnya landasan, pengguna terpaksa berdepan gangguan sama ada tren tiba lewat, penumpang tertahan di stesen tertentu dengan pengumuman yang biasa didengar termasuk “Tren ini sedang menunggu isyarat bergerak….”.

Tren akan tertahan 5 hingga 10 minit atau lebih jika terpaksa menunggu ketibaan tren dari arah bertentangan , melibatkan laluan satu landasan.

Contohnya baru-baru ini, saya mengambil tren dari KL Sentral ke Bangi pukul 2.46 petang. Selepas stesen Mid Valley, pergerakan tren tertahan dengan pengumuman dibuat disebabkan “satu landasan antara Salak Selatan ke Batang Benar,”

Akibatnya tren yang sepatutnya tiba di Stesen Bandar Tasek Selatan lebih awal sebaliknya tiba pada pukul 3.26 petang iaitu masa yang sepatutnya tren itu berada di stesen berikutnya, Serdang dan memulakan perjalanan ke Kajang.

Tren kemudiannya bertolak pada pukul 3.35 petang ke Serdang selepas beberapa kali pintu tren dibuka dan tutup dan aircond ‘mati’.

Tiba di stesen Serdang pukul 3.42 petang sedangkan jika diikutkan jadual pukul 3.43 petang, tren berkenaan sepatutnya tiba di Kajang. Kekewatan itu menyebabkan tren tiba di Kajang pukul 3.56 petang.

Nasib baik tren komuter dari arah Seremban sudah tiba di platform 1 Kajang. Jika tidak sangkut lagi. Akhirnya tren bergerak dari Kajang stesen Kajang 2 pada pukul 3.57 petang waktu yang sepatutnya saya sudah tiba di stesen Bangi.

Tiba di Kajang 2 pukul 4 petang dan meneruskan perjalanan ke UKM pukul 4.01 petang dan tiba di destinasi pukul 4.06 petang. Perjalanan seterusnya ke Bangi pukul 4.07 petang dan tiba pukul 4.12 petang.

Jika ikutkan jadual asal, saya sepatutnya tiba di stesen Bangi pukul 3.57 petang dan ini bermakna lewat 15 minit daripada jadual asal. Begitulah kelewatan yang berlaku. Hanya mereka yang pernah mengalami sutuasi ini memahami masalah ini.

Seperti yang pengguna sering dengar pengumuman setiap kali tren tertahan “Pemahaman anda amat kami harapkan….”.

Nnnnnnn

Related posts

Leave a Comment