Tok Mat mahu tanding Parlimen

SEREMBAN 3 Sept. – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan, mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu tidak menyatakan kawasan berkenaan sebaliknya akan turut mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

“Memandangkan sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya perlu bertanding pada peringkat Parlimen bagi memainkan peranan berkesan di peringkat kebangsaan dan peringkat tertinggi parti,” katanya selepas menghadiri Program Semarak Merdeka di Taman Jed Kuala Sawah, Rantau, dekat sini, petang tadi.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa Mohamad dijangka bertanding di kerusi Parlimen Rembau, sesuai dengan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Ketika itu, kerusi terbabit disandang Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang juga Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy mewakili kawasan Parlimen itu selepas memenangi PRU pada tahun 2008 diikuti 2013 dan 2018 dengan mengalahkan calon-calon yang mewakili PKR, Pas dan bebas.

Mengenai DUN Rantau pula, Mohamad menyifatkan kerusi terbabit sebagai unik kerana komposisi pengundinya yang seimbang membabitkan berbilang kaum.

“DUN Rantau hanya ada 51 peratus pengundi Melayu dan selebihnya kaum lain. Justeru dari segi komposisi kaum, ia adalah seimbang.

“Ia perlu diuruskan dengan baik. Jadi insya-Allah, saya akan terus mempertahankan kerusi ini pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Mohamad yakin dan percaya, pengundi Rantau akan memberi sokongan kepadanya dan BN pada PRU-15.

Setakat ini, kedudukan calon dan kerusi BN di Negeri Sembilan bagi menghadapi PRU-15, masih belum diputuskan.

Related posts

Leave a Comment