Pas tolak jawatan Exco Perlis

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Krisis politik di Perlis berterusan apabila Pas memutuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pimpinan Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata semua anggota Exco sedia ada daripada Pas akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring peletakan jawatan bekas Menteri Besar daripada parti itu, Mohd Shukri Ramli.

Bagaimanapun dalam kenyataannya, Pas komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan Pas dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pas menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Justeru Pas juga menawarkan kesediaannya untuk menerajui PN bagi tujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan PRU ke-16.

Terdahulu Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari depan.

Dalam pada itu, Pas juga menegaskan komitmen untuk kekal selamanya menghormati lunas-lunas undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, konsep Raja berperlembagaan serta kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail demi kemaslahatan negeri dan rakyat.

Perselisihan hubungan antara Pas dan Bersatu semakin ketara selepas peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari Pas, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Peletakan jawatan atas faktor kesihatan tetapi hakikatnya lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Shukri sebagai Menteri Besar Perlis.

Pas kemudiannya mengumumkan tiga ADUNnya, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) tergugur keahlian susulan SD kepada Raja Perlis.

Situasi semakin kalut apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

Pada masa yang sama Muhyiddin juga didesak Pas untuk mengambil tindakan terhadap lima ADUN Bersatu yang didakwa menyerahkan SD kepada Raja Perlis tetapi tiada sebarang tibdakan diambil.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment