Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dibersarakan

PUTRAJAYA 12 Dis. –  Perkhidmatan Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ditamatkan berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu surat kepada Mohd. Shafiq yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali bertarikh 1 Disember lalu.

Surat berkenaan menyebut sedemikian atas perkara Penamatan Demi Kepentingan Awam Di Bawah Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] Dan Dibersarakan Mengikut Perenggan 10(5)(D) Akta Pencen 1980 [Akta 277].

Surat itu turut memberitahu penamatan Mohd Shafiq sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred Utama Turus 1 (Memangku) demi kepentingan awam di bawah peraturan yang disebutkan di atas.

Mohd. Shafiq dilantik memegang jawatan itu pada 10 Februari lalu menggantikan Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari 2022.

Shafiq sebelum ini terbabit dengan satu kontroversi selepas seorang pegawai imigresen mengadu Shafiq mengherdiknya di tempat awam.

Satu aduan rasmi difailkan oleh Jabatan Imigresen yang kemudiannya disusuli satu siasatan yang diarahkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kemudiannya menafikan dakwaan yang Ketua Pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, JPA menjelaskan Mohd Shafiq telah membuat teguran terhadap imigresen khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.

Pegawai imigresen didakwa tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara sebaliknya delegasi tersebut diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.

JPA, juga menjelaskan teguran dibuat Mohd Shafiq bukan di khalayak ramai malah KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah.

Bagaimanapun , tidak dipastikan sama ada tindakan terhadap Shafiq itu mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

Related posts

Leave a Comment