Dr: Pengamal perubatan perlu daftar MMC

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Penggunaan gelaran ‘Dr’ tidak memberi hak kepada individu untuk menjadi seorang pengamal perubatan di negara ini sekiranya tidak berdaftar sebagai seorang pengamal perubatan dengan Majlis Perubatan Malaysia.

MMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebenaran untuk mengamalkan perubatan adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya.

“Bagi graduan perubatan yang memperoleh kelayakan daripada program perubatan yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, pertimbangan bagi tujuan pendaftaran untuk menjalankan amalan perubatan adalah tertakluk kepada keperluan ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.

“Ini termasuk lulus peperiksaan yang ditetapkan serta menjalani latihan siswazah di hospital latihan siswazah yang diiktiraf di negara ini,” kata kenyataan itu.

Isu penggunaan Dr tercetus apabila ada pihak mempertikaikan status Dr. yang digunakan Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari.

Ahli Jawatankuasa Penerangan Pusat Pas, Dr Nurul Islam Yusoff sebelummini juga menggesa, Dr Taufiq menjelaskan penggunaan gelaran ‘Dr’ di hadapan namanya walaupun beliau graduan universiti tidak diiktiraf.

Ini berikutan Dr Taufiq tidak berdaftar dengan MMC dan memperoleh ijazah perubatannya dari Universitas Islam Bandung iaitu yang tidak diiktiraf di Malaysia.

Beliau juga menggesa Dr Taufiq menjelaskan dakwaan pernah berkhidmat sebagai doktor di sebuah klinik di Sungai Petani.

MMC berkata, sebagai makluman graduan perubatan daripada suatu program ijazah perubatan boleh menggunakan gelaran akademik ‘Dr’ sebagai tanda kelayakan akademik mereka.

Gelaran itu juga bukan eksklusif kepada pengamal perubatan saja kerana ia juga turut digunakan oleh doktor pergigian, doktor veterinar serta pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang akademik.

“Sebagai prinsip umum, semua individu yang ingin mengamal perubatan di negara ini hendaklah berdaftar dengan MMC dan memegang sijil Perakuan Amalan Tahunan (PAT) yang sah sebelum menjalankan sebarang bentuk amalan perubatan,” kata kenyataan itu.

MMC menggalakkan orang awam untuk membuat semakan status pendaftaran mana-mana pengamal perubatan melalui Medical Register Information and Technical System (MeRITS) di https://merits.mmc.gov.my/.

“Sebarang keraguan atau aduan berkaitan kemungkinan penyamaran atau salah guna gelaran boleh disalurkan kepada admin.mmc@moh.gov.my.

“MMC komited untuk melindungi keselamatan pesakit dan memastikan masyarakat menerima perkhidmatan kesihatan hanya daripada pengamal perubatan yang benar-benar layak dan berdaftar,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment