PUTRAJAYA 24 Dis. – Sebanyak 40,482 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 November 2025 didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu yang kini boleh disemak sehingga 21 Januari 2026.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khairul Shahril Idrus berkata, semakan boleh dibuat melalui Daftar Pemilih Tambahan Bulan November Tahun 2025 (DPT BLN11/2025) yang diperaku pada 22 Disember dan diwartakan 23 Disember.
Selain itu, DPT BLN11/2025 juga mengandungi 14,131 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,303 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
Khairul Shahril berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 30
November 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN11/2025.
Sekiranya pemilih mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN11/2025, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.
Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang bertukar bahagian pilihan raya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk serahan serta pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan DPT BLN11/2025.
Sebarang pertanyaan berkaitan urusan semakan DPT BLN11/2025, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my atau menghubungi SPR di talian 03-8892 7218, atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
Nnnnn
