BAGAN – Barisan Nasional (BN) akan mendesak supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau juga menyifatkannya sebagai rejim cukai terbaik bagi memastikan keadilan serta hasil pendapatan negara lebih kukuh.
Katanya, pendirian BN jelas, namun parti itu bersedia memberi ruang kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada untuk diteruskan buat sementara waktu.
“Pendirian BN adalah untuk mengembalikan GST. SST, kita beri peluang dahulu. Masih ada baki dua tahun lagi.
“Tetapi selepas PRU16, kita menuntut supaya GST, iaitu rejim cukai terbaik, mesti dikembalikan di negara ini supaya rakyat menerima peruntukan lebih besar dan merasai keadilan tanpa mengira status ekonomi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-17 Makkal Sakti di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran, yang meminta GST dikembalikan dengan menyatakan bahawa SST telah menyebabkan banyak kesukaran kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Zahid berkata terdapat bukti jelas tentang keberkesanan GST apabila ia dilaksanakan di lebih 155 negara.
Malaysia antara lapan negara yang masih menggunakan SST… kita pernah melaksanakan GST sebelum ini, sebelum kembali kepada SST. Ya, kita faham itu adalah janji seseorang sebelum ini.
“Setakat ini, kita menyokong pelaksanaannya. Namun selepas PRU16, kita mesti bertegas untuk melaksanakan GST. Ia mesti dilaksanakan di negara kita,” tambahnya.
GST adalah cukai penggunaan berperingkat yang dilaksanakan di Malaysia bermula 1 April 2015 sehingga ia dimansuhkan dan ditetapkan pada kadar sifar pada 1 Jun 2018. Ia kemudiannya digantikan dengan SST pada 1 September 2018.
Nnnn
