DAMSYIK – Penduduk Syria meraikan ulang tahun pertama kejatuhan rejim Bashar al-Assad, menandakan titik perubahan penting dalam sejarah moden negara itu selepas lebih satu dekad konflik berdarah.
Sambutan itu memperingati kejayaan kempen kilat selama 11 hari oleh pasukan pembangkang yang menumbangkan pemerintahan al-Assad selama 53 tahun.
Sempena sambutan itu, dapat disaksikan kibaran bendera, pertunjukan bunga api, nyanyian patriotik dan tarian rakyat di bandar-bandar utama seperti Damsyik, Aleppo dan Homs.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, bekas pemimpin gerakan pembangkang, memulakan hari bersejarah itu dengan menunaikan solat Subuh di Masjid Umayyad di Damsyik sambil mengenakan pakaian seragam tentera.
Dalam ucapannya selepas solat, beliau berikrar untuk membina semula Syria dan menegaskan bahawa tiada kuasa luar yang akan menghalang usaha pemulihan negara.
“Tiada halangan yang akan menghalang kita. Kita akan hadapi semua cabaran, insya-Allah,” katanya.
Sambutan telah bermula sejak hujung minggu lalu, dengan pihak berkuasa menyeru rakyat agar meraikan secara aman dan mengelakkan tembakan ke udara.
Di Dataran Umayyad, ribuan orang berkumpul sambil membawa sepanduk dan potret mangsa perang, sebagai penghormatan kepada mereka yang terkorban sepanjang 14 tahun konflik.
Kejatuhan al-Assad pada Disember tahun lalu telah membuka lembaran baharu buat Syria, yang kini sedang berusaha memulihkan ekonomi dan membina semula infrastruktur yang musnah.
Menurut laporan, hampir 1.8 juta rakyat Syria yang hilang tempat tinggal dan 780,000 pelarian telah kembali ke tanah air sejak kejatuhan rejim lama.
Nnnn
