Indonesia mahu bina 2,600 unit rumah

JAKARTA 21 Dis. – Kira-kira 2,600 rumah kekal akan dibina dalam tempoh terdekat bagi penduduk yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera dalam tempoh terdekat, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tito Karnavian.

Beliau berkata pembinaan itu adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Penempatan yang diterajui Menteri Maruarar Sirait dengan kerjasama beberapa yayasan.

Bercakap pada sidang media di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, di sini, beliau berata lebih 10 hari pihaknya melakukan pemeriksaan di lokasi terbabit dengan keseluruhan 2,600 unit.

Menurut Karnavian, pembinaan rumah kekal itu akan dilaksanakan di tiga wilayah, iaitu 1,000 unit di Sumatera Utara, 600 unit di Sumatera Barat dan 1,000 unit di Aceh, sekali gus dijangka mempercepatkan proses pemulihan di kawasan terjejas.

Sebelum ini, Sirait mengesahkan pembinaan rumah kekal untuk komuniti di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat akan bermula bulan ini.

Dalam kenyataan Khamis lalu, beliau memaklumkan sekurang-kurangnya 2,603 unit rumah kekal dirancang dibina pada fasa awal, walaupun operasi tindak balas kecemasan masih berjalan.

Banjir dan tanah runtuh melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat pada akhir November 2025 susulan hujan lebat berintensiti tinggi.

Data Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) menunjukkan setakat 19 Disember, jumlah korban meningkat kepada 1,071 orang, 185 masih hilang sementara  147,236 rumah rosak, termasuk 44,051 unit musnah teruk.

Daripada jumlah keseluruhan itu, kira-kira 106,000 rumah terletak di Aceh.

Related posts

Leave a Comment