Sentiasa turun padang dengar suara rakyat

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihatkan anggota Jemaah Menteri supaya sentiasa menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi.

Baginda menasihatkan mereka supaya sentiasa menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta mengutamakan kepentingan rakyat.

Menurut Seri Paduka Baginda, keutamaan kerajaan antara lain perlu menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi, seiring dengan prinsip tadbir urus yang baik.

“Menteri dan Timbalan Menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat. Anda perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi,” titah Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Sultan Ibrahim, bertitah anggota Jemaah Menteri perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan cekap dan berkesan.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri Persekutuan.

Majlis yang berlangsung di Istana Negara itu turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri,  Fadillah Yusof.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment