5 negeri beralih ke Fasa 2 PPN

PUTRAJAYA 3 Julai – Lima negeri – Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuatkuasa Isnin, 5 Julai, kata Menteri Kanan Pertahanan,  Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu sidang media khas di Putrajaya hari ini, beliau berkata, peralihan kelima-lima negeri itu ke fasa seterusnya adalah kerana negeri-negeri terbabit berjaya mencapai tiga indikator nilai ambang yang ditentukan.

Indikator itu ialah kes harian Covid-19 bawah 4,000, peningkatan kapasiti unit rawatan rapi (ICU), serta liputan vaksinasi dua dos meliputi 10 peratus daripada keseluruhan populasi.

“Dengan ini saya hendak sekali lagi maklumkan bahawa terdapat lima negeri yang telah pun memenuhi tiga indicator, dan boleh beralih ke Fasa 2 iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

“Peralihan ke Fasa 2 ini berkuatkuasa pada 5 Julai, 2021, atau Isnin depan,” katanya lagi.

Turut bersama-sama dalam sidang media berkenaan ialah Menteri Kewangan Tengku Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi PPN.

Fasa kedua masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat dengan aktiviti sosial kekal ditutup dan sekatan pergerakan seperti mana fasa pertama.

Perbezaan utama antara fasa pertama dan kedua adalah dari segi kebenaran peningkatan kapasiti fizikal daripada 60 peratus kepada 80 peratus meliputi sektor dibenarkan selain penambahan beberapa sektor dalam senarai positif yang boleh beroperasi.

Sementara itu, Tengku Mohd Zafrul berkata, dua nilai ambang, iaitu masing-masing bagi liputan vaksin dan katil ICU masih sama seperti digunakan di peringkat Persekutuan, cuma yang berubah ialah kadar purata kes Covid-19.

“Justeru, perkiraan digunakan bagi mengukur kadar purata kes di peringkat negeri ialah nilai ambang fasa berikutnya didarab jumlah penduduk negeri dan dibahagi populasi di Malaysia.

“Oleh itu, menerusi perkiraan ini dan pertimbangan terhadap dua lagi nilai ambang, kita dapati lima negeri sudah memenuhi semua prasyarat untuk beralih ke fasa kedua,” katanya..

Berdasarkan perangkaan semasa dari 1 Jun hingga 1 Julai lalu, Tengku Zafrul menjelaskan kebanyakan negeri merekodkan penyusutan mendadak purata kes dengan Terengganu mencatatkan kadar perubahan terbesar iaitu 86.1 peratus.

Perubahan positif itu turut dilihat di Kelantan yang melakar pengurangan purata kes bagi tempoh sama sebanyak 83 peratus, disusuli Perlis (75 peratus), Pulau Pinang (57.4 peratus), Kedah (53.3 peratus), Johor (48.4 peratus) dan Putrajaya (40.5 peratus).

Katanya, secara keseluruhan, sembilan negeri sudah melepasi nilai ambang kes purata Covid-19 untuk beralih ke fasa kedua, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang dan Perak.

Sabah dan Terengganu pula sudah beralih ke fasa ketiga, bersandarkan nilai ambang purata kes Covid-19, manakala hanya Perlis yang mengecapi fasa keempat.

Jika diteliti nilai ambang bagi liputan vaksin pula, sembilan negeri dan semua Wilayah Persekutuan sudah cukup syarat untuk beralih ke fasa kedua.

Negeri berkenaan ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Sarawak, selain Putrajaya, Labuan serta Kuala Lumpur,” katanya.

Related posts

Leave a Comment