Enam lagi negara dikenakan sekatan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memperluaskan larangan perjalanan ke AS dengan menghalang kemasukan warga dari enam lagi negara mukai 1 Januari ini menjadikan 12 negara kesemuanya.

Enam negara itu adalah Burkina Faso, Mali, Niger, Sudan Selatan Syria dan pemegang pasport Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Trump sebelum ini sudah mengharamkan kemasukan warga Somalia,  Afghanistan, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Myanmar, Sudan dan Yaman.

Trump, yang sejak sekian lama berkempen untuk menyekat imigresen dan kini menggunakan nada semakin keras, bertindak mengharamkan kemasukan warga asing yang ‘berniat mengancam’ rakyat AS.

Langkah Trump itu dibuat beberapa hari selepas dua anggota tentera AS dan seorang orang awam terbunuh di Syria, negara yang sebelum ini cuba ‘dipulihkan’ kedudukannya di peringkat antarabangsa oleh Trump susulan kejatuhan pemerintah lama, Bashar al-Assad.

Pihak berkuasa Syria berkata, penyerang berkenaan adalah anggota pasukan keselamatan yang sepatutnya dipecat kerana mempunyai ‘ideologi Islam pelampau’.

Dalam beberapa tindakan baharu, Rumah Putih turut memaklumkan Trump mengenakan sekatan perjalanan separa terhadap warga beberapa negara Afrika lain termasuk Nigeria yang mempunyai penduduk paling ramai, serta beberapa negara Caribbean yang majoriti penduduknya berkulit hitam.

Bulan lalu, Trump memperketatkan lagi larangan terhadap rakyat Afghanistan dengan menamatkan satu program yang membantu membawa masuk warga Afghanistan yang pernah berjuang bersama AS menentang Taliban.

Tindakan itu diambil selepas seorang veteran Afghanistan yang dipercayai mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) menembak dua anggota Pengawal Kebangsaan yang ditempatkan Trump di Washington.

Negara yang kini dikenakan sekatan separa, selain Nigeria, ialah Angola, Antigua dan Barbuda, Benin, Dominica, Gabon, Gambia, Ivory Coast, Malawi, Mauritania, Senegal, Tanzania, Tonga, Zambia dan Zimbabwe.

Angola, Senegal dan Zambia sebelum ini dikenal pasti sebagai rakan penting AS di Afrika, dengan bekas Presiden AS, Joe Biden, memuji ketiga-tiga negara itu atas komitmen mereka terhadap demokrasi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment