Penyerang disahkan anak, bapa

SYDNEY – Pasangan anak dan bapa, disahkan sebagai suspek yang melakukan serangan tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi, Sydney dalam insiden yang kini disifatkan sebagai serangan pengganas yang menyasarkan komuniti Yahudi.

Menurut kenyataan rasmi polis Australia, penyerang berusia 50 tahun maut di tempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa, manakala anak lelakinya yang berusia 24 tahun cedera parah dan kini kritikal di hospital.

Serangan yang berlaku pada malam pertama sambutan Hanukkah itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa, termasuk seorang kanak-kanak dan dua anggota polis manakala lebih 40 orang lagi dilaporkan cedera.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa serangan itu “direka untuk menyasarkan komuniti Yahudi Sydney”, dan siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan kaitan dengan kumpulan ekstremis.

Rakaman video menunjukkan seorang peniaga tempatan, Ahmed al Ahmed, bertindak berani melumpuhkan salah seorang penyerang, sekali gus mengelakkan lebih banyak korban jiwa.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan insiden itu sebagai “tragedi nasional” dan menyeru rakyat agar bersatu menentang kebencian serta keganasan.

Kawasan sekitar Pantai Bondi kini ditutup untuk siasatan forensik dan kawalan keselamatan dipertingkatkan di seluruh bandar.

Related posts

Leave a Comment