“Saya tidak pernah curi wang parti”

SEPANG 13 Dis. – Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Mohd Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dibuat Dr Mahathir Mohamad menerusi sebuah video tular yang mendakwa beliau mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah sendiri.

“Ini adalah tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.

Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diuruskan secara telus oleh Bendahari Agung,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Muhyiddin berkata, dakwaan sedemikian kemungkinan timbul susulan maklumat tidak benar yang diterima Mahathir daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Muhyiddin, sebagai seorang negarawan, Mahathir sepatutnya mendapatkan penjelasan daripadanya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang tuduhan secara terbuka.

“Dalam banyak pertemuan saya dengan beliau, perkara ini tidak pernah dibangkitkan di hadapan saya,” katanya.

Justeru Muhyiddin berkata, beliau bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara sebenar bagi mengelakkan fitnah terhadap dirinya

Bagaimanapun, beliau tetap menghormati Mahathir sebagai orang yang lebih tua dan mengakui hubungan mereka sebelum ini adalah akrab, termasuk sokongannya terhadap usaha bekas Perdana Menteri itu dalam memperjuangkan perpaduan orang Melayu.

“Oleh yang demikian, saya tidak berhasrat untuk mengheret beliau ke mahkamah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment