PBB digesa tubuh badan penyiasatan

GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa menubuhkan satu badan penyiasatan bebas berhubung dakwaan penggunaan periuk api baharu di sepanjang sempadan Thailand dengan Kemboja.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, membuat gesaan itu pada Mesyuarat Negara-Negara Pihak ke-22 Konvensyen Larangan Periuk Api Antipersonel di Geneva.

Sihasak, berkata negara itu sudah menggunakan semua saluran dua hala dengan penuh keikhlasan untuk menyelesaikan isu periuk api bersama Kemboja.

“Jika sebuah negara boleh memasang periuk api baharu dan menafikannya tanpa sebarang tindakan, apa yang akan berlaku kepada mangsa seterusnya?,” katanya sambil mendesak Setiausaha Agung PBB memudahkan pembentukan misi siasatan bebas.

Sibasak berkata, langkah itu adalah pendekatan paling adil, berkesan dan telus dan

tindakan itu juga akan mengelakkan isu berkenaan daripada dipolitikkan dan membuktikan prosedur konvensyen mampu dipertahankan apabila dicabar.

Bagaimanapun, delegasi Kemboja yang diketuai Menteri Kanan, Ly Thuc, menolak dakwaan Thailand dengan menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.

“Dakwaan seperti ini tidak membantu keamanan,” menurut kenyataan itu, sambil menyeru semua pihak kembali kepada semangat konvensyen yang menekankan perkongsian, dialog dan komitmen bersama untuk melindungi nyawa serta membina keamanan jangka panjang.

Kemboja tidak mahu forum ini dijadikan tribunal atau medan konfrontasi politik. Ia mesti kekal sebagai platform untuk menyelesaikan perbezaan melalui dialog aman dan konstruktif.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak bulan lalu selepas Thailand menggantung perjanjian damai berikutan empat askarnya cedera akibat letupan periuk api di wilayah Si Sa Ket.

Thailand dan Kemboja sebelum ini menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur pada Oktober, disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pada 28 Julai, kedua-dua negara turut bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dalam mesyuarat tiga pihak yang turut dipengerusikan Anwar.

Nnn

Related posts

Leave a Comment