Gencatan senjata belum lengkap

DOHA – Rundingan bagi memantapkan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) dalam konflik Gaza kini pada detik kritikal yang disifatkan negara perantara, Qatar, hanya hentian sementara.

Qatar yang memainkan peranan penting sebagai perantara dalam konflik itu, sedang berusaha mempercepatkan pelaksanaan fasa seterusnya gencatan berkenaan.

Walaupun keganasan menurun sejak gencatan berkuat kuasa pada 10 Oktober, serangan dilaporkan masih berlaku dengan sekurang-kurangnya tujuh mangsa dilaporkan terbunuh semalam.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani pada sesi panel Forum Doha berkata, usaha gencatan senjata belum mencapai tahap dimahukan.

“Kita berada pada saat kritikal. Usaha ini belum mencapai tahap dimahukan. Apa yang berlaku setakat ini hanyalah satu hentian sementara,” kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani.

Beliau menegaskan, gencatan itu belum boleh dianggap lengkap selagi tidak berlaku pengunduran sepenuhnya pasukan tentera Israel, kestabilan dikembalikan di Gaza dan pergerakan keluar masuk rakyat berjalan seperti biasa iaitu keadaan yang menurutnya masih tidak wujud pada masa ini.

Rundingan mengenai peringkat berikutnya dalam pelan Presiden AS, Donald Trump untuk menamatkan perang dua tahun di wilayah Palestin itu turut diteruskan.

Pada Khamis, delegasi Israel mengadakan rundingan di Kaherah bersama perantara berhubung pemulangan tebusan terakhir yang masih ditahan di Gaza, sekali gus melengkapkan fasa awal pelan Trump.

Sejak gencatan bermula, Hamas memulangkan 20 tebusan yang masih hidup serta 27 mayat sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan dan banduan Palestin.

Israel pula memaklumkan, laluan Rafah akan dibuka dalam masa terdekat untuk tujuan keluar ke Mesir dan kemasukan dari Rafah ke Gaza akan dibenarkan selepas mayat tebusan terakhir dipulangkan.

Pelan Trump turut mencadangkan pembentukan kerajaan sementara teknokrat Palestin di Gaza, dipantau oleh lembaga keamanan antarabangsa serta disokong pasukan keselamatan antarabangsa.

Persetujuan mengenai komposisi dan mandat pasukan itu kekal sebagai cabaran utama.

Walaupun pertempuran berkurangan, Israel terus melancarkan serangan di Gaza dan memusnahkan infrastruktur yang didakwa milik Hamas, sementara kedua-dua pihak saling menuding jari atas pelanggaran gencatan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment